BERITA

Wang RM2.6b: Umno belum cukup hairan?

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jul 2015, 10:44 pagi

Haruskah Umno memecat presidennya, Datuk Seri Najib Razak atau timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Soalan ini dibangkitkan sejak Mei lalu, selepas Muhyiddin berkongsi kebimbangannya bersama pemimpin Umno dalam satu pertemuan tertutup di Janda Baik, Pahang.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah naib presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan anggota majlis tertinggi, Datuk Ahmad Maslan.

Dalam video itu, Ahmad Zahid ketawa besar apabila Muhyiddin menyebut mengenai pemimpin Umno yang “tunjuk tahu tapi tidak tahu” dan “macam pandai tapi tak pandai”.

Para hadirin juga ketawa berdekah-dekah tetapi Ahmad Maslan hanya mampu tunduk dan tersenyum simpul sambil meneguk air botol apabila Muhyiddin berkata demikian.

Namun apapun cerita di sebaliknya, Ahmad Maslan dan Ahmad Zahid masih berada dalam kabinet. Lebih untung, Ahmad Zahid, yang kini menggantikan Muhyiddin di jawatan timbalan perdana menteri.

Ahmad Maslan, MP Pontian itu pula menjadi timbalan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed di kementerian perdagangan antarabangsa dan industri selepas serangan hendap Najib, Selasa lalu ke atas Muhyiddin.

Muhyiddin yang 'lebih tahu'

Antara perkara yang disebut oleh Muhyiddin selepas digugurkan dari Kabinet, beliau “lebih tahu sedikit” mengenai 1MDB berbanding orang lain.

Sedikit demi sedikit, kita mendapat pembayangnya. Semalam, bocor lagi satu video yang menunjukkan Muhyiddin berkongsi mengenai perbualannya dengan Najib.

Dalam video itu, Muhyiddin berkata beliau antara lainnya bertanya kepada PM, mengapa wang RM2.6 bilion itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Muhyiddin tidak perlu menunggu lama jika beliau mahu menafikan perkara itu. Rumahnya di Bukit Damansara tidak putus-putus dihurung para wartawan hingga ke hari ini.

Tidakkah Umno cukup hairan jika presiden mereka memiliki wang sebanyak itu dalam akaun peribadi? Bagi salah seorang pemikirnya , Tun Faisal Ismail Aziz, perkara itu seolah-olah tidak ada apa-apa masalah.

"Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi, itu hak dan rahsia peribadi individu yang tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai,” katanya.

Maka, kita boleh melihat dua aliran dalam Umno. Yang pertama, selari dengan pandangan Tun Faisal, yang juga penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas.

Aliran kedua pula akan bersolidariti dan simpati dengan Muhyiddin. Mereka pastinya melihat ada sesuatu perkara yang tidak kena apabila seorang PM boleh memiliki wang sebanyak itu dalam akaun peribadi.

Tersungkur di Putrajaya

Lebih tidak kena, Muhyiddin hilang jawatannya selepas mempersoalkan perkara itu.

Mengulas dakwaan mengenai wang dalam akaunnya, seperti dilapor The Wall Street Journal , Najib sekadar berkata beliau tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

Tetapi, tidak kiralah bagaimana wang itu dibelanjakan. Sekiranya benar wang itu masuk ke akaun Najib dan dibelanjakan, perkara itu sudah cukup untuk menimbulkan persoalan.

Umno tidak perlu menunggu sehingga habis siasatan sebelum bertindak ke atas pemimpin yang didakwa rasuah.

Parti itu mempunyai piawai dan pemikiran yang berbeza dengan badan siasatan kerajaan atau mahkamah.

Sebelum ini, kita pernah melihat tokoh yang dijatuhkan hukuman di mahkamah kerana kesalahan rasuah tetap terpilih ke jawatan utama dalam parti.

Maka tidak hairanlah sekiranya Najib boleh kekal sebagai presiden parti walau mahkamah kelak mendapati perdana menteri itu terlibat dengan rasuah.

Tapi Umno kali ini perlu bertindak lebih baik dari itu. Umno terpaksa menunjukkan imej yang bersih untuk membolehkannya meraih kepercayaan pengundi bagi mengekalkan kuasa dalam pilihan raya akan datang.

Kebetulan pula, Muhyiddin dalam kenyataannya selepas digugurkan dari Kabinet menyatakan ikrar serupa – untuk mengembalikan keyakinan kepada Umno.

Bibit-bibit penentangan ke atas Najib kini mula dilihat, namun akar umbi Umno nampaknya sedang mengambil masa untuk pulih dari trauma dan memahami perkara yang terjadi.

Tumpuan perlu diberikan kepada sentimen di kalangan Umno Johor memandangkan Muhyiddin merupakan tokoh utama yang memacu sokongan daripada negeri kelahiran parti itu.

Tidakkah orang Umno Johor tertanya-tanya, apakah perkara yang lebih diketahui oleh Muhyiddin?

Tidakkah mereka cukup hairan apabila maklumat itu menyebabkan Muhyiddin tersungkur di Putrajaya?

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.