Bekas Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Marina Yusoff hari ini menafikan khabar angin bahawa beliau akan menyertai kembali Umno.

"Saya bukan katak lompat seperti yang dikatakan oleh orang-orang Umno. Saya tidak berminat menyertai mana-mana parti," kata Marina kepada malaysiakini sekejap tadi.

"Orang Umno tidak perlu risau, jawatan mereka tidak akan tergugat," kata Marina dalam nada jenaka, menolak kemungkinan beliau menyertai dan memegang jawatan parti itu.

Akhbar News Straits Times hari ini melaporkan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob berkata Umno tidak menerima sebarang maklumat tentang permohonan Marina untuk berbuat demikian.

Marina turut menegaskan keputusan berundur dari KeADILan bukan atas mana-mana desakan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa Marina menghantar surat perletakan jawatan kerana ingin memberi penumpuan terhadap perniagaannya serta nasihat doktor terhadap kesihatan beliau.

"Tekanan (daripada Umno) sentiasa berlaku dan bukan sahaja terhadap saya," katanya. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bentuk tekanan itu.

"Saya tidak menerima tekanan daripada bank, institusi kewangan," jelas Marina, mengulas masalah perniagaannya yang dikatakan wujud sejak beliau menyertai Parti Melayu Semangat 46 lagi.

Apabila ditanya berhubung kenyataan beberapa anggota Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan terhadap kandungan surat kritikan beliau terhadap Timbalan Presiden parti itu, Dr Chandra Muzaffar, peguam itu menjelaskan mereka berhak mengemukakan pandangan.

"Saya tetap dengan apa yang telah saya tulis, Saya tidak tahu berpura-pura dan bercakap bohong," tegas Marina lagi, merujuk surat yang dilaporkan oleh malaysiakini Selasa lalu.

Tambahnya, beliau kini ingin melupakan segala yang telah berlaku (perselisihan surat itu) dan ingin berehat dengan aman.

"Saya tidak mahu mengeluarkan sebarang ulasan lagi dan saya tidak tahu bagaimana surat itu boleh sampai kepada malaysiakini ," katanya. "Yang lepas tu, biarlah lepas."