13 AMK telah disiasat isu konvoi BERSIH Merdeka
Seramai 13 pemimpin AMK Pusat dan Selangor hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung konvoi AMK-Bersih Merdeka yang berlangsung pada Ahad lepas.
Naib Ketua AMK Mohd Radzlan Jalaludin berkata seramai tujuh termasuk dirinya memberi keterangan berkaitan konvoi di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang ini.
"Hari ini kami seramai tujuh orang daripada AMK telah dipanggil polis untuk membantu siasatan mereka berkaitan satu konvoi.
"Kami telah beri kerjasama dan pihak polis akan lengkapkan siasatan mereka," kata kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan.
Enam lagi anggota AMK yang diminta hadir Naib Ketua Sangeetha Jayakumar, empat exco AMK pusat iaitu Anwar Nekhan, P Tharmentran, Afzanizam Rahman dan Mohd Ridhuan Basri serta anggota sekretariat Daing Mohd Reduan.
Mereka hadir ke ibu pejabat polis itu kira-kira jam 2.30 petang dan keluar selepas dua jam kemudian. Lebih 30 anggota AMK yang lain hadir sebagai tanda sokongan solidariti kepada mereka.
Pada Ahad lepas satu konvoi kemerdekaan anjuran AMK diadakan di sekitar Shah Alam dan berakhir di Ibu Pejabat PKR disertai lebih 23 buah kereta untuk mempromosi himpunan BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos ini di ibu negara.
Sementara itu, Radzlan yang juga seorang peguam berkata empat lagi pemimpin AMK hadir di IPD Ampang Jaya pagi tadi bagi tujuan yang sama.
Empat ialah Setiausaha Agung AMK Pandan Harith Razlan Razali dan tiga anggota AMK cabang itu iaitu Nurul Azrin Zainoldin, Muhammad Sodiqul Masduq dan Shabani Ikhsan
Sementara Ketua AMK Klang, Mohd Farazi Mohd Shah pula hadir ke IPD Klang Utara semalam manakal Naib Ketua AMK Shah Alam RT Saravannan hadir di IPD Shah Alam pagi tadi .
Sementara itu, Mohd Radzlan berkata pihaknya kini sedang giat menggerakkan lebih 10,000 anggotanya untuk menyertai himpunan aman itu
"Kita telah pun menyediakan dan mempersiapkan lebih 500 anggota skuad AMK Malaysia untuk menjaga keselamatan dan keamanan semasa hari perhimpunan.
"Kita juga telah mengarahkan anggota AMK seluruh negara dan sehingga kini lebih 10,000 anggota AMK akan sertai," katanya.

