Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mendedahkan ada sesuatu yang tidak kena di Kementerian Kerjaraya dan Kementerian Kewangan dalam pemilihan kontraktor bagi melaksanakan projek-projek besar.

Kelemahan yang paling ketara ialah kedua-dua kementerian berkenaan tidak mengikuti asas-asas pemilihan yang betul menyebabkan kontraktor yang tidak berkemampuan dan berkelayakan, mendapat projek besar kerajaan.

Timbalan Yang Dipertuan PKMM, Datuk Mohd Amar Mohamad berkata, pihak-pihak berkenaan nampaknya memberi kontrak dalam keadaan yang sukar dijangkakan.

"Saya kata sukar dijangka kerana secara tiba-tiba kontraktor yang tidak pernah didengar namanya, mendapat projek yang besar. Ini kontraktor segera, kontraktor mi maggi," katanya kepada malaysiakini .

Menurutnya lagi, pemilihan kontraktor nampaknya telah mengetepikan soal-soal kewibawaan, pengalaman, tenaga mahir dan kewangan.

Sebaliknya, kata beliau, mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak atasan, mudah mendapat kontrak.

Menimbulkan keraguan

Menurutnya, pemilihan kontraktor untuk melaksanakan projek-projek kerajaan dibuat sepenuhnya oleh kerajaan terutama Kementerian Kerjaraya serta Kementerian Kewangan dan pihak persatuan tidak pernah campurtangan langsung.

"Sesetengah kontraktor mendapat terlalu banyak projek dalam satu-satu masa dan ini menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan atau masa untuk menyiapkan semua projek. Jadi tidak hairanlah ada projek yang dibuat secara sambil lewa," tambahnya.

Mohd Amar mengulas mengenai beberapa projek besar kerajaan - Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Hospital Sultanah Aminah - yang menghadapi masalah sehingga menimbulkan keraguan orang ramai terhadap ketelusan kerajaan dalam pemberian projek berkenaan.

Katanya, apabila kejadian itu berlaku masing-masing menuding jaring antara satu sama lain dan selalunya kerajaan menyalahkan kontraktor yang kononnya tidak cekap dan seterusnya mahu menghukum kontraktor terbabit.

"Kepada saya, apa yang berlaku itu adalah salah kerajaan kerana sistem pembahagian projek yang tidak berkesan dan ini yang perlu disiasat. Kalau mereka sudah tidak mematuhi asas-asasnya, yang menjadi masalah adalah semua pihak, yang jadi mangsa kontraktor dan rakyat," katanya.

Kontraktor sambilan

Katanya, PKMN juga tidak senang dengan trend baru kemunculan begitu ramai kontraktor yang seolah-olah mahu mengaut keuntungan daripada industri pembinaan yang berkembang pesat.

Seramai 8,000 kontraktor Melayu bergabung dengan PKMM tetapi kira-kira 50,000 kontraktor lagi tidak menjadi ahlinya - sebahagian daripadanya adalah kontraktor sambilan iaitu menjadi kontraktor apabila mendapat projek.

Bagaimanapun, Mohd Amar memberi jaminan PKMM akan mengagihkan projek kerajaan yang diperolehi secara adil dan bjak kepada ahlinya dengan mengutamakan kewibawaan, kemahiran, kewangan dan rekod yang baik.

Beliau juga berjanji akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli PKKM yang didapati menjual projek kepada orang lain untuk mendapat keuntungan mudah.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang mendapat maklumat mengenai perkara itu boleh melaporkannya kepada persatuan untuk tindakan lanjut.