Puteri Umno serah memorandum hukuman pesalah seks
Pergerakan Puteri Umno sudah menyerahkan memorandum mengenai denda pesalah seks di bawah Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah kepada Jawatankuasa Khas untuk mendapatkan maklumbalas awam bagi kedua-dua kanun itu kepada jawatankuasa itu semalam.
Pergerakan Puteri Umno sudah menyerahkan memorandum mengenai denda pesalah seks di bawah Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah kepada Jawatankuasa Khas untuk mendapatkan maklumbalas awam bagi kedua-dua kanun itu kepada jawatankuasa itu semalam.
Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Puteri Umno Pulau Pinang, Azlina Mehtab kepada jawatankuasa berkenaan di dalam satu majlis di Alor Star, semalam.
Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Ahmad Sherlin berkata kelewatan itu disebabkan pihaknya menghadapi masalah kesuntukan masa kerana hanya menerima undangan pada 26 Oktober lalu.
"Kalau orang kata kami tidak berminat itu pandangan yang silap, Puteri Umno cukup berminat kerana ia adalah satu langkah yang boleh mengurang dan membendung jenayah seksual di kalangan wanita di negara ini.
"Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mengetuai jawatankuasa khas itu membuat kenyataan mungkin tidak menyedari mengenai kesibukan kami menghadapi pemilihan peringkat bahagian, negeri dan seterusnya Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur pada September lalu," katanya ketika dihubungi dari Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Radzi bahawa Puteri Umno seolah-olah tidak berminat mengambil bahagian di dalam jawatankuasa yang diwujudkan di peringkat parlimen mengenai pembendungan jenayah seksual di negara ini.
Perkara pokok
Kata Mohd Radzi, beliau merasa dukacita kerana Jawatankuasa Khas itu menerima cadangan dari individu, badan bukan kerajaan dan parti politik termasuk pembangkang tetapi tidak dari Puteri Umno.
"Adakah mereka tidak berminat . Mereka seharusnya lebih proaktif untuk membantu memperkemaskan kedua-dua bil itu," kata Radzi.
Jawatankuasa yang dianggotai oleh tujuh Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang itu sedang mengkaji cadangan supaya perogol lelaki yang berusia 50 tahun dan ke atas disebat dan dipotong telinganya.
Tujuh ahli jawatankuasa itu ialah Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN Santubong), SK Devamany (BN-Cameron Highlands), Tan Ah Heng (BN-Gelang Patah), Donald Peter Mojuntin (BN-Penampang), Che Min Che Ahmad (BN-Pasir Puteh) dan Teresa Kok (DAP-Seputeh).
Memorandum yang dihantar oleh Puteri Umno mengandungi beberapa perkara pokok untuk diteliti dan diterima oleh jawatankuasa berkenaan.
Diantaranya ialah:
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara di semua peringkat baik daerah mahaupun negeri digunakan sepenuhnya sebagai pusat untuk memberi bantuan kepada mangsa jenyayah seksual.
- Pusat krisis diwujudkan di hospital di seluruh negara bagi memudahkan untuk memberi bantuan kepada mangsa jenayah seksual terutama perempuan tua dan kanak-kanak.
- Murid dan pelajar sekolah perlu diberi pendidikan seks secukupnya supaya mereka mendapat pengetahuan bagaimana untuk menangani keganasanan jenayah seksual.
Kesemua butiran yang ada di dalam memorandum itu diperolehi dari ahli-ahli Puteri Umno termasuk yang berada di peringkat akar umbi di seluruh negara hasil daripada tinjauan yang dibuat sejak Julai lalu.
Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie berkata, pihaknya cukup mengalu-alukan cadangan itu kerana ia boleh memberi kesedaran dan keinsafan kepada perogol yang kian berleluasa kebelakangan ini.
"Kita kena ikut keadaan semasa, perogol semakin berani dan menjadi ancaman utama kepada wanita baik tua mahupun kanak-kanak yang tidak tahu menahu seks sekalipun. Jadi bagi saya cadangan itu adalah untuk kepentingan seluruh masyarakat," katanya.
Pelbagai maklumbalas
Salah seorang jawatankuasa, Teresa Kok berkata, pihaknya menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan daripada masyarakat mengenai cadangan yang bakal dibuat itu.
"Maklum balas yang kami terima setakat ini adalah pelbagai. Ada yang tidak setuju dengan cadangan supaya perogol disebat kerana menurut mereka itu hukum rimba. Seorang wanita dari Sabah mengatakan tidak boleh memotong telinga perogol kerana tidak ada kena dengan kesalahannya," katanya.
Jawatankuasa berkenaan telah menjelajah ke Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, manakala negeri lain dijangka akan dilawat dalam tempoh yang terdekat ini. Mereka juga akan mendapatkan pandangan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO dan orang perseorangan, terutama peguam.
"Apa yang kita (jawatankuasa) nampak sekarang ialah masyarakat kita masih kurang faham mengenai undang-undang membabitkan perogol. Dan kita berharap dengan adanya penjelajahan ini orang ramai akan lebih membuka mata," ujarnya lagi.

