Amid Nordin: Ada usaha jatuhkan saya di Kota Melaka
Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Amid Nordin mendakwa ada pihak tertentu yang memerangkapnya sehingga menyebabkan beliau dikenakan hukuman gantung keahliannya dalam Umno selama sepenggal atau tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini.
Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Amid Nordin mendakwa ada pihak tertentu yang memerangkapnya sehingga menyebabkan beliau dikenakan hukuman gantung keahliannya dalam Umno selama sepenggal atau tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini.
Beliau berkata mereka yang memerangkapnya itu adalah orang yang berpengaruh. Bagaimanapun beliau enggan menyatakan siapa yang bertanggungjawab dalam perkara itu.
"Mereka memang hendak memerangkap saya kerana mahu melihat saya jatuh dalam politik. Saya memang tidak menjangka langsung perkara ini akan berlaku ke atas diri saya.
"Orang ini sudah lama mengatur serangan terhadap saya kerana mereka mempunyai kepentingan dalam politik Umno di Kota Melaka dan di negeri ini juga," katanya ketika dihubungi hari ini.
Amid adalah antara Ketua Bahagian Umno yang digantung keahlian oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terbabit dengan politik wang menjelang Perhimpunan Agung Umno, 23 September lalu.
Ketua bahagian yang lain termasuklah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Astaman Aziz, Ketua Umno Machang Datuk Ismail Mamat dan Ketua Umno Jelutong Datuk Abdul Rashid Ismail.
Lembaga Disiplin Umno itu dipengerusikan oleh bekas pemimpin veteran Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudden Ismail, yang ditugaskan menyiasat semua dakwaan mengenai politik wang dan pelanggaran etika pemilihan parti.
Dakwaan Rahim
Bagaimanapun, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka itu menafikan beliau menggunakan wang ringgit dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Melaka ketika menentang bekas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Julai lalu.
Dalam pemilihan tersebut, Abdul Rahim tewas dengan 109 undi, apabila mendapat 126 undi berbanding Amid yang memperolehi 235 undi. Berikutan Abdul Rahim telah membuat
kenyataan terbuka
mendakwa berlakunya politik wang dalam pemilihan tersebut.
Ini merupakan kali ketiga Abdul Rahim tewas kepada Amid dalam usahanya untuk merampas jawatan Ketua Umno bahagian Kota Melaka. Sebelum ini, Rahim tewas dua kali di tangan Amid, iaitu pada tahun 1997 dan 2000.
Semasa pemilihan tahun 1997, Abdul Rahim tewas dengan 44 undi manakala pada tahun 2000 dia tewas dengan 57 undi.
"Tuduhan yang dibuat oleh Lembagai Disiplin Umno, iaitu saya menggunakan wang dalam pemilihan itu, sama sekali tidak benar. Saya memberi keterangan mengenai perkara itu semasa dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno tetapi tidak diterima," kata Amid.
Beliau berkata, Lembaga Disiplin Umno hanya memanggilnya sekali sebelum dijatuhkan hukuman digantung keahlian selama sepenggal atau tiga tahun.
Di dalam penghakiman yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno, Amid dituduh menganjurkan perjumpaan dengan Puteri Umno Bahagian Kota Melaka beberapa hari sebelum berlepas untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.
"Saya bukan menganjurkan perjumpaan dengan Puteri seperti yang didakwa tetapi sebagai Ketua Bahagian, saya dijemput menghadirinya dan saya memenuhi jemputan berkenaan. Malangnya kehadiran saya itu dijadikan alasan oleh Lembaga Disiplin Umno untuk mendakwa saya terbabit dengan politik wang.
Sedia lepas jawatan
"Bagaimana mereka kata saya ada kepentingan dengan Puteri Umno sedangkan mesyuarat belum pun diadakan lagi," katanya sambil menambah musuh politik memang ada di mana-mana.
Amid, bagaimanapun berkata, beliau sudah menghantar surat rayuan terhadap hukuman penggantungan itu tetapi sehingga hari ini belum mendapat sebarang jawaban dari Lembaga Disiplin Umno.
Mengenai masa depannya, beliau menyerahkannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk menentukannya.
"Kalau di Kota Melaka ini ada orang lain yang lebih baik untuk parti dan masyarakat, ambillah mereka dan saya rela melepaskan jawatan yang sedang disandang ini," katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau akan menjalankan tugasnya sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka seperti biasa melainkan pihak pengurusan Umno atau Ketua Menteri mengarahkan sebaliknya.
Ekoran daripada penggantungan itu, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Melaka, Betty Chew pernah meminta Amid meletakkan jawatan sebagai Ahli Exco Kerajaan negeri.

