Pemuda PAS anggap dakwaan terhadapnya tidak munasabah
Dewan Pemuda PAS hari ini mengecam laporan perisikan Thai yang menuduh parti itu mengapi-apikan pergolakan di wilayah selatan Thai sebagai strateginya untuk menguatkan kedudukannya selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata laporan perisikan itu yang disiarkan oleh sebuah akhbar Thai semalam adalah tidak benar sambil mendakwa ianya sebahagian daripada "konspirasi global untuk memberi gambaran buruk tentang Islam".
Menurutnya lagi, PAS tidak pernah bertolak ansur dengan sebarang tindakan keganasan dan parti itu juga tidak pernah menyokong mana-mana kumpulan yang terbabit dengan keganasan.
Oleh itu, katanya, adalah munasabah sama sekali untuk menuduh PAS telah mengapi-apikan keganasan di selatan Thai untuk meluaskan agenda politiknya.
Laporan perisikan itu mengaitkan PAS dengan pergolakan yang berlaku di selatan Thai baru-baru ini, termasuk tragedi di Tak Bai di mana 85 penduduk terbunuh ketika pihak polis dan tentera Thailand menyuraikan satu tunjuk perasaan di situ.
Salinan laporan tersebut juga dikatakan telah diberikan kepada Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra.
Pegawai perisikan yang menyediakan laporan tersebut mendakwa ia dibuat berdasarkan kepada maklumat yang diperolehinya dalam sebuah seminar anjuran PAS di Kuala Lumpur minggu lalu, yang turut dihadiri oleh Salahuddin, timbalannya Idris Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Riduan Mohd Noor.
Pegawai tersebut, bagaimanapun, tidak menjelaskan dengan terperinci bagaimana beliau boleh membuat kesimpulan bahawa PAS telah menghasut keganasan di selatan Thai atau bagaimana parti itu melakukannya.
Buktikan dakwaan
Salahuddin juga menafikan bahawa beliau telah menghadiri sebarang seminar yang membincangkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam di selatan Thai.
Katanya, selain daripada demonstrasi yang diadakan di Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, beliau tidak pernah menghadiri mana-mana seminar mengenai selatan Thai, sama ada sebelum ataupun selepas peristiwa Tak Bai.
Malah, katanya, PAS juga tidak pernah menganjurkan sebarang seminar yang berkaitan dengan tragedi di wilayah selatan Thai itu.
"Jika mereka berani menuding jari ke arah kami, jadi saya mencabar mereka supaya membuktikan kebenaran laporan itu dan semua tuduhan yang terkandung di dalamnya," katanya.
Menurut Salahuddin lagi, beliau akan mengkaji terlebih dahulu laporan media Thai mengenai laporan perisikan itu, sebelum membuat sebarang bantahan rasmi.
Idris, yang dikatakan dipetik dalam laporan tersebut sebagai 'pemimpin PAS dari Terengganu', juga melahirkan rasa terkejutnya bagaimana laporan itu boleh membuat kesimpulan sedemikian rupa, sedangkan PAS tidak pernah menganjurkan seminar seperti yang didakwa itu.
Malah, katanya, nama-nama mereka yang disebut dalam laporan tersebut tidak pernah menghadiri sebarang seminar mengenai selatan Thai, kerana PAS tidak pernah menganjurkan seminar seumpama itu di dalam ataupun di luar Malaysia.
Sebaliknya, beliau percaya, tuduhan tersebut direka-reka sebagai satu percubaan untuk mengaitkan PAS dengan tindakan keganasan.
Ceramah
Manakala Ridhuan pula, ketika dihubungi, juga menafikan yang beliau merupakan 'ketua' perhubungan luar PAS di Pattani sepertimana yang didakwa dalam laporan perisikan tersebut.
Menurutnya, tiada seminar diadakan seperti yang didakwa itu diadakan kecuali ceramah yang diadakanoleh Pemuda Umno pada 31 Oktober di Kuala Lumpur di mana Salahuddin, selaku setiausaha Amsec (Sekretarian Belia Islam Asean) dijemput untuk memberi berucap.
Katanya, jika kesimpulan dalam laporan perisikan itu dibuat semata-mata berdasarkan kepada ceramah tersebut, maka ianya tiak berasas sama sekali kerana penceramahnya hanya menyentuh tentang aspek sejarah masyarakat Islam Pattani dan masalah yang mereka hadapi di sana.
"Ceramah tersebut juga diadakan untuk melancarkan tabung kemanusian bagi membantu 85 penduduk Islam yang terkorban di Tak Bai," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, ianya bukanlah sesuatu yang luarbiasa bagi PAS menganjurkan ceramah seperti itu kerana parti itu juga menganjurkan majlis yang sama untuk membantu masyarakat Islam di Iraq, Kosovo, Afghanistan dan Cambodia.
Namun begitu, kata Ridhuan, laporan perisikan Thai itu tidak akan menghalang PAS daripada terus membangkitkan isu masyarakat Islam yang menjadi mangsa di selatan Thai.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.