Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah menyertai pembangkang jika gemar menghadiri program musuh politik BN itu.
Beliau juga mengingatkan bekas anggota parlimen Temerloh itu supaya tidak menjadi duri dalam daging Umno dengan tindakannya itu.
"Kalau suka sangat hadiri program pembangkang, saya cadangkan supaya dia sertai pembangkang dan kemudian dia boleh buat apa yang dia suka.
"Jangan jadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Kalau fikir pembangkang lebih baik, pergilah ke pembangkang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program perasmian program keluarga angkat di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, menteri wilayah persekutuan itu berkata, kenyataan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas mengenai kehadiran Saifuddin ke persidangan meja bulat pembangkang adalah pandangan peribadi.
Sebagai setiausaha agung parti, Tengku Adnan berkata beliau hanya menjalankan tugas dengan menghanar surat tunjuk sebab dan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menghukumnya.
"Itu pandangan Tan Sri Megat Najmuddin. Dia juga merupakan salah seorang dalam panel disiplin Umno. Sebagai setiausaha agung, saya mengikut perlembagaan Umno.
"Terpulang kepada lembaga disiplin nak gantung, nak pecat (sekiranya Saifuddin bersalah). Saya tak ada kuasa.
"Saya laksana tugas saya sebagai setiausaha agung. Apa yang patut saya lakukan, kalau ada orang langgar etika parti, saya akan hantar surat," katanya lagi.
Saifuddin mendapat surat tunjuk sebab daripada Umno berikutan kehadirannya ke meja bulat Pembangkang pada 22 September lalu.
Saifuddin hadir pada majlis berkenaan mewakili Akademi Belia yang dipengerusikannya bersama bekas pemimpin BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga dan beberapa wakil NGO lain.
Saifuddin perlu menjawab surat berkenaan dalam tempoh 14 hari.
