Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi minta Bank Negara batal semua lesen 1MDB
Diterbitkan:  Oct 10, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Bank Negara wajar membatalkan semua lesen kewangan diberi kepada 1MDB jika Peguam Negara terus enggan menggunakan kuasanya mendakwa agensi itu seperti disyorkan dalam kertas siasatan bank pusat berkenaan.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bekrata, langkah itu adalah antara yang dicadangkan pihaknya bagi membolehkan masalah kewangan melanda syarikat tajaan penuh kerajaan itu diatasi.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, Bank Negara wajar membatalkan semua permit atau kelulusan pemindahan wang yang pernah diberikan selama ini.

"Jika Peguam Negara enggan menggunakan kuasanya di bawah perlembagaan untuk mendakwa 1MDB seperti yang disyorkan oleh kertas siasatan, maka Bank Negara wajar menggunakan kuasanya yang lain untuk memastikan masalah 1MDB tidak berlanjutan hingga membawa kesan kepada ekonomi negara," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Nanti tiada pilihan

Langkah lain yang turut dicadangkan Rafizi adalah supaya Bank Negara menolak sebarang permohonan permit atau kelulusan pemindahan wang yang baru supaya dananya tidak lagi boleh dipindahkan sesuka hati.

Cadangan lain Rafizi melalui kenyataan itu adalah supaya Bank Negara menolak permohonan lesen atau permit baru yang ada kaitan dengan urusan kewangan bagi memastikan 1MDB tidak boleh membuat perjanjian atau urusan kewangan yang baru.

Jalan yang paling berkesan untuk mengelakkan masalah berlanjutan, kata Rafizi, adalah dengan melumpuhkan operasi kewangan dan urus niaga pemindahan dana oleh 1MDB yang dikawal selia Bank Negara.

"Apabila 1MDB dikekang daripada membuat pinjaman atau memindahkan dana, saya pasti Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada pilihan lain kecuali menutup 1MDB dan menyelesaikan masalah kewangannya secara muktamad," katanya.

Sementara itu Rafizi memuji "keberanian" Bank Negara membatalkan tiga kelulusan diberi kepada 1MDB mengikut Akta Kawalan Matawang 1953 untuk melabur di luar negara, membabitkan nilai AS$1.83 bilion (RM7.56 bilion).

"Perkara ini telah lama ditimbulkan terutamanya daripada aspek pengubahan wang haram.

"Saya faham sepenuhnya kuasa pendakwaan terletak di bawah kuasa Peguam Negara.

"Oleh yang demikian, besar kemungkinan apa-apa siasatan di bawah bidang kuasa Bank Negara (termasuk mengenai pengubahan wang haram) tidak berkesudahan dengan pendakwaan 1MDB ke mahkamah walaupun disyorkan oleh Bank Negara," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS