Tindakan cerdik pandai dan pakar negara yang mengambil keputusan untuk bekerja di negara-negara maju menyebabkan Malaysia mengalami kerugian yang besar dari segi kos membiayai pelajaran mereka semasa di universiti.

Kebanyakan mereka memilih untuk bekerja di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Australia kerana tawaran upah dan gaji yang lumayan.

Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang mendedahkan perkara ini semasa persidangan Dewan Parlimen baru-baru ini, meminta kerajaan menangani masalah ini daripada berterusan.

Ahli Parlimen Tangga Batu Idris Haron berkata, cerdik pandai ini bekerja untuk negara lain sedangkan Malaysia yang membiayai pengajian mereka dan ia merupakan kerugian harta intelek kepada negara.

Menurutnya, kos pembiayaan untuk melahirkan seorang pakar dalam sesuatu bidang bukanlah murah, malah menjangkau ratusan ribu ringgit.

Antara golongan pakar yang paling ramai bekerja di luar negara ialah dalam bidang kedoktoran, saintis, kejuruteraan dan komputer yang sangat diperlukan oleh negara-negara maju.

"Mereka bekerja di luar negara kerana tawaran gaji yang lumayan. Saya mencadangkan kerajaan negera kita melakukan sesuatu dengan memberikan pakej yang menarik supaya mereka bekerja di negara sendiri," katanya lagi.

Ambil tindakan

Sehubungan itu, Idris mencadangkan supaya tindakan undang-undang diambil ke atas bekas pelajar yang sengaja enggan bekerja di Malaysia, sedangkan kerajaan telah menghabiskan ratusan ribu ringgit membiayai pelajaran mereka di luar negara.

"Kerugian dalam bentuk harta intelek ini perlu dihentikan segera kerana negara amat memerlukan kepakaran mereka kerana pembangunan pesat negara sudah tentu memerlukan pakar dalam bidang tertentu.

"Apa yang sering berlaku sekarang ialah mereka hanya kembali ke tanah air apabila usia sudah lanjut dan tenaga mereka tidak diperlukan lagi. Apa jadi kalau mereka terus menetap di luar negara," tanyanya.

Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, P. Komaladevi menjelaskan kementeriannya akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan bekas pelajar yang belajar di luar negara bekerja di Malaysia sebaik tamat pengajian.

Bagaimanapun, seorang pelajar yang pernah mengikuti pengajian dengan biasiswa kerajaan di Britain pada tahun 1980 mendakwa ramai rakannnya bekerja di Amerika Syarikat dan Eropah kerana peluang pekerjaan di Malaysia tidak sebanyak mana.

Fadillah Baharin yang kini menjadi Pengarah Jabatan Standard Malaysia di Putrajaya mengikuti pengajian di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjadi pakar nuklear di negara ini.

"Malangnya bidang nuklear tidak berkembang dengan sepatutnya menyebabkan ada yang terpaksa bekerja dalam bidang kepakaran masing-masing," katanya.

Beliau juga berkata, program penghantaran saintis nuklear ke luar negara juga telah terhenti walaupun mahu kembali menggunakan tenaga nuklear untuk pembangunan negara.