SIS tak halang poligami, tapi...
Poligami - walaupun dibenarkan Islam - membawa lebih banyak mudarat berbanding kesan positif, kata pertubuhan Sister In Islam (SIS).
Pengarah Eksekutif SIS, Ratna Osman berkata berdasarkan kajian mereka terdapat kesan buruk terhadap lima pihak yang terbabit dalam sesuatu amalan poligami, iaitu suami, isteri pertama, isteri kedua, serta anak daripada isteri pertama dan kedua yang berusia 18 tahun ke atas.
"Kajian tersebut mendapati ada isteri kedua telah didiskriminasi apabila haknya dinafikan suaminya," katanya.
Ratna membuat penjelasan itu ketika menjawab soalan salah seorang peserta forum Apabila Isteri Jadi Suami di ibu negara malam tadi.
Kata Ratna, SIS tidak menghalang amalan poligami namun apa yang dipraktikan hari ini menyebabkan lebih banyak kemudaratan terutama kepada isteri.
Malah, kata Ratna sistem poligami sedia ada kini tidak lagi berdasarkan al-Quran seperti terkandung dalam surah An-Nisa ayat 3 yang menuntut agar wanita diberi perlindungan daripada kezaliman dan ketidakadilan.
Situasi kian meruncing
Ayat yang diturunkan pada tahun keenam hijrah itu, katanya, bertujuan membela kebajikan anak gadis yang menjadi yatim dan wanita yang menjadi balu ekoran kematian suami daripada peristiwa perang Uhud.
Kata Ratna, ayat tersebut menjelaskan tentang konsep pelindungan. Justeru, katanya, wanita yang memilih untuk berpoligami memiliki kelebihan, bukan menjadi mangsa.
"Kerana konsep keadilan yang dimahukan. Kalau boleh berlaku adil, kahwinlah dua, tiga atau empat dan semua bahagia, SIS tidak persoal.
"Bagaimanapun, disarankan suami hanya beristeri seorang saja jika tidak dapat berlaku adil," katanya.
Mengulas lanjut, Ratna berkata mengambil ikhtibar daripada pelbagai kes yang berlaku SIS menggesa kerajaan mengembalikan undang-undang mengetatkan peraturan poligami seperti diamalkan pada 1984.
"Kajian menunjukkan situasi kesengsaraan hidup anak-anak daripada keluarga berpoligami semakin meruncing. Kesengsaraan terhadap anak-anak tidak bagus," katanya.
Selepas Ratna selesai memberi penjelasan, seorang ibu tunggal yang juga panelis forum menegaskan bahawa kehidupan sebagai ibu tunggal memang cukup susah, namun poligami lebih menyusahkan.
"Menjadi Ibu tunggal susah, (tetapi) poligami lebih susah dan memeritkan," ujar Anurziana Ahmad yang sempat berkongsi penderitaan hidupnya ketika bergelar isteri kedua.

