Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibrahim: Lebih ramai sokong PAS tanpa baiah taklik

PERKASA menyambut baik bayangan PAS akan memansuhkan amalan baiah dengan lafaz taklik talak tiga terhadap calon mewakili mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden kumpulan pendesak Melayu itu Datuk Ibrahim Ali berkata jika langkah itu diambil, lebih ramai masyarakat akan menyokong PAS.

“Bagi saya kalau PAS menolak lafaz taklik talak tiga di Kelantan, saya kira langkah yang baik.

“Saya percaya orang lebih ramai lagi sokong PAS,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA Kuala Lumpur petang ini.

Semalam Hadi tidak menolak kemungkinan PAS akan memansuhkan lafaz taklik talak tiga yang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Kontroversi itu timbul kembali selepas perkahwinan anggota parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dikatakan terbubar dengan penyertaannya ke parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Hadi juga pernah dilaporkan berkata, wakil rakyat parti itu yang gagal mematuhi sumpah baiah perlu bersedia menerima laknat oleh Allah dan Rasulullah.

Sementara itu, Ibrahim mencadangkan agar PAS menggantikan lafaz taklik dengan cara lain seperti lafaz meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

“Mereka (PAS) buat lafaz taklik sebelum ini kerana tidak mahu calon PAS dibeli oleh parti lawan. Niat PAS itu baik tapi ikat calon dengan jatuh talak tiga dengan isteri itu tidak wajar.

“Seharusnya lafaz taklik kalau tukar parti perlu minta calon letak jawatan sebagai ahli parlimen atau ADUN, elakkan dari jatuhkan talak tiga sebab ia akan beri kesan yang buruk kepada isteri itu nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS