Bajet alternatif Pakatan Harapan mahu tempoh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara dilanjutkan selama dua tahun lagi.
Menurut mereka, keputusan itu akan membantu menstabilkan ekonomi dan menangani kejatuhan nilai ringgit.
"Berikutan keadaan luar biasa hari ini, kami percaya Zeti mampu mengemudikan negara melalui krisis berkenaan.
"Kebebasan dan kesaksamaan (Zeti) ketika pengendalian kes skandal kewangan 1MDB baru-baru ini membuktikan tahap profesionalisme beliau dalam menguruskan hal-hal kewangan negara," kata buku bajet alternatif.
Oleh itu, Pakatan Harapan akan menyokong sebarang langkah untuk melanjutkan tempoh Zeti di bank pusat.
Penggal Zeti sebagai Gabenor Bank Negara dijadual berakhir pada 13 April tahun depan.
