PAS pertimbangan ambil tindakan undang-undang
Dewan Pemuda PAS Kelantan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar yang menyiarkan laporan yang mendakwa Mursyidur Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan, akan melepaskan jawatan.
Dewan Pemuda PAS Kelantan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar yang menyiarkan laporan yang mendakwa Mursyidur Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan, akan melepaskan jawatan.
Ketuanya, Zulkafli Yacob berkata, beliau telah mengarahkan pihak peguam supaya mengkaji secara terperinci laporan tersebut untuk diambil tindakan undang-undang.
"Laporan mengenai perletakan jawatan (Nik Aziz) telah menimbulkan keresahan di kalangan kami dan rakyat Malaysia. Jadi media tersebut mesti bertanggungjawab. Adalah tidak bertanggungjawab untuknya melaporkan perkara tersebut sedangkan beliau (Nik Aziz) tidak menyatakan hasratnya untuk berbuat demikian.
"Saya percaya bahawa sekiranya beliau merancang untuk meletakkan jawatan, beliau pastinya telah memberitahu kerajaan negeri, kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat," katanya ketika dihubungi.
Zulkifli juga percaya bahawa Umno Kelantan ada kaitan dengan penyebaran khabar angin mengenai persaraan Nik Aziz itu.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan laporan tersebut yang mengatakan Nik Aziz, yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, telah melepaskan semua jawatannya dalam parti.
Kualiti pemimpin agung
Selain Utusan Malaysia yang menyiarkannya sebagai berita utama muka depannya semalam, akhbar The Star dan malaysiakini juga turut melaporkannya pada hari Selasa.
Mengikut laporan Harakahdaily hari ini, Nik Aziz, yang sedang mengerjakan Umrah di Mekah turut menafikan spekulasi tersebut dan menyifatkannya sebagai 'sampah'.
Sementara itu, Zulkafli berkata beliau yakin Nik Aziz akan mengotakan ikrarnya sebelum pilihanraya umum yang lalu untuk terus memimpin Kelantan sehingga ke akhir hayat.
"Apabila beliau membuat ikrar tersebut, kami (Pemuda PAS Kelantan) menyokongnya dan hari inipun kami tetap menyokongnya. Jadi tidak timbul sebarang persoalan kerana kami mahu beliau terus memimpin kerajaan negeri untuk lama lagi," tambahnya.
Malahan, katanya, kalau Nik Aziz sendiri pun yang mahu melepaskan jawatan itu secara sukarela, beliau dan pemimpin negeri akan memujuk beliau supaya tidak berbuat demikian.
"Kami mahu beliau terus memimpin kami kerana kami percaya beliau memiliki semula kualiti seorang pemimpin agung yang sukar didapati pada orang lain," katanya.
Sudah sihat
Menurut Zulkifli lagi, tiada seorang pun (pemimpin parti itu) yang ada pada hari ini yang dapat menandingi Nik Aziz.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak mempunyai kenyakinan dengan pemimpin pelapis parti itu.
"Kami mempunyai keyakinan kepada pemimpin-pemimpin seperti Timbalan Menteri Besar Ahmad Yaacob, Ahli Exco seperti Husam (Musa) and Nik (Mohd) Amar (Abdullah) dan saya percaya rakyat akan menyokong mereka apabila mereka mengambil alih daripada Tuan Guru (Nik Aziz). Tetapi saya tidak ingat ia akan berlaku dalam tempoh terdekat ini," katanya.
Mengenai faktor kesihatan yang kaitkan dengan spekulasi persaraan Nik Aziz itu, Zulkifli berkata persoalan itu tidak timbul kerana para doktor yang merawat Menteri Besar itu mengesahkan beliau sudah sihat.
"Apabila (bekas Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) menjalani pembedahan jantung dahulu, tidak siapapun yang membuat spekulasi bahawa beliau akan meletakkan jawatan.
"Beliau terus memimpin negara untuk tempoh 12 tahun seterusnya. Jadi, saya rasa menggunakan alasan pembedahan untuk beliau meletakkan jawatan, tidak boleh diterima," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.