Azmin: Belanjawan 2016 lembabkan ekonomi

   

Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam benar-benar akan melembapkan pertumbuhan ekonomi, bukan merangsang, kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

"Bajet 2016 sangat mengecewakan dalam erti kata bahawa ia gagal menyediakan rangsangan dalam keadaan ekonomi hari ini yang sangat memerlukan penambahbaikan.

"Daripada merangsang pertumbuhan ekonomi, bajet itu mungkin menjejaskan," kata Azmin dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata kedua-dua sumber utama pertumbuhan ekonomi di Malaysia adalah melalui pelaburan dan perbelanjaan pengguna.

Azmin mendakwa keyakinan pelabur terjejas teruk ekoran skandal kewangan terbesar yang berterusan di negara ini, manakala sentimen pengguna mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan peningkatan kadar cukai pendapatan adalah negatif.

"Bajet 2016 gagal menangani 'krisis keyakinan' serta tidak banyak langkah untuk merangsang keyakinan pelabur atau menimbulkan sentimen pengguna,” katanya.

Bukan sesuatu yang gah

Apa yang diperlukan dalam penambahbaikan ekonomi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu, adalah rangsangan dalam bentuk perbelanjaan sektor swasta yang lebih besar melalui peningkatan perbelanjaan pelaburan dan perbelanjaan pengguna.

"Malangnya, bajet yang dibentangkan adalah sebaliknya. Bajet kali ini adalah belanjawan gula-gula," keluh beliau.

Azmin juga mengkritik kenyataan Perdana Menteri mengenai GST dalam ucapan Bajet 2016 semalam.

Najib berkata, GST telah menunjukkan peningkatan hasil kerajaan sebanyak RM21 bilion dan ia tak akan berlaku sekiranya kerajaan tetap melaksanakan cukai perkhidmatan jualan (SST).

Azmin berkata kutipan itu bukanlah satu pencapaian yang gah.

"Sudah tentu pendapatan akan meningkat. Anda mengenakan cukai ke atas rakyat melaluinya. Pelaksanaan GST di Malaysia tidak selaras dengan negara lain," katanya.

Kata Ahli Parlimen Gombak itu kebanyakan negara, mengurangkan pendapatan dan cukai korporat secara serentak dengan pelaksanaan GST, tetapi tidak di Malaysia.

"Ia merupakan satu tamparan hebat kepada rakyat Malaysia kerana mereka perlu membayar cukai yang lebih daripada sebelum ini.

"Malah, kerajaan Najib telah gagal dalam pentadbirannya apabila menganggap GST adalah satu kejayaan," katanya.

Sebaliknya kata Azmin, masalah asas inflasi juga tidak dinyatakan di dalam bajet kali ini.

"Tema Bajet 2016 Mensejahterakan Rakyat kedengaran baik di atas kertas tetapi seperti yang kita lihat dalam kes bajet tahun lalu, pentadbiran Najib akan gagal untuk menyampaikan pada akhirnya," ujar Azmin.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In