Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau tidak mempunyai butiran terperinci berhubung peruntukan sebanyak RM50 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina yang diluluskan dalam bajet 2015.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan bahawa wang tersebut belum disalurkan kepada sebarang sekolah jenis kebangsaan Cina.

"Peruntukan yang dibagi bukan pada satu jenis sekolah sahaja, tapi semua. Cukup tak cukup, kurang tak kurang (peruntukan), itu saya ingat sudah dijelaskan sebelum ini.

"Ada yang dah sampai (peruntukan), cuma saya tak tahu butirannya. Tapi kalau (peruntukan) tak sampai, itu tak betul, jumlah sahaja yang saya tak pasti," katanya dalam sidang media selepas melawat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di ibu negara hari ini.

Selain itu, ketika ditanya hanya RM20 juta sahaja yang diberi dan baki RM30 juta masih belum diterima, Mahdzir meminta supaya perkara itu diajukan kepada Timbalan Menteri Pendidikan II, Chong Sin Woon.

"Saya tak tahu (baki RM30 juta), nanti kita periksa tengok. Saya tak tahu itu. Awak tanya Chong. Dia menteri yang ditugaskan untuk sekolah Cina," katanya lagi.

Dalam pembentangan Bajet 2015 tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM56 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran pada tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengam penekanan kepada pemantapan sekolah yang memerlukan bimbingan dan bantuan khusus.

Dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran pula, kerajaan akan menyediakan RM800 juta untuk tujuan itu, dengan pecahan antaranya RM50 juta diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Manakala bagi sekolah menengah kebangsaan Cina dan comforming school yang mengguna pakai kurikulum kebangsaan diperuntukan RM25 juta.

Malah, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China (Dong Zong) pada minggu lalu juga mendakwa sebilangan sekolah jenis kebangsaan Cina belum menerima peruntukan wang tersebut dan meminta supaya kerajaan menyerahkannya segera.