Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Pusat PAS akan memanggil bekas naib presiden parti itu untuk menjelaskan dakwaan serta mengemukakan bukti berhubung dakwaannya mengenai kerajaan Kelantan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengikut pandangan parti itu semua dakwaan mesti disertakan dengan bukti kukuh.

Bagaimanapun, katanya, belum ada tarikh khusus ditetapkan untuk memanggil Datuk Husam Musa.

Sebagai ahli PAS, kata Tuan Ibrahim, Husam sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti untuk menimbulkan sebarang isu yang menglibatkan pengurusan.

"Secara positifnya, PAS melihat sebarang kenyataan mesti dikemukakan dgn bukti-bukti yg cukup," katanya di sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Husam memberi penjelasan mengenai "banyak perkara".

Ditanya mengenai apa yang dimaksudkannya itu, Tuan Ibrahim berkata, ia membabitkan dakwaan terhadap kerajaan Kelantan , presiden parti dan PAS sendiri.

PAS sedia mendengar

Sejak akhir-akhir ini Husam sering tampil membuat pelbagai kenyataan dan pertanyaan yang dianggap memanaskan kerajaan Kelantan.

Antara isu yang dibangkitkan bekas exco kanan Kelantan itu ialah pembalakan di negeri berkenaan, persetujuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menubuhkan kerajaan bersama Umno serta yang terbaru, dibiarkan sendirian menghadapi fitnah terhadapnya.

PAS sedang mengalami gelora dalaman ekoran tindakan kumpulan konservatif melakukan 'gerakan pembersihan' parti itu pada muktamar tahunan mereka Jun lalu.

Ketika sebahagian besar pimpinan sederhana PAS sudah keluar menyertai Parti Amanah Negara, beberapa tokoh seperti Husam mengambil keputusan terus bersama parti berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim, PAS akan mendengar penjelasan daripada Husam sebelum memutuskan tindakan lanjut ke atas bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

"Ini sikap parti, kita bersedia untuk mendengar," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Tuan Ibrahim berkata PAS akan mengemukakan dokumen berisi kritikan serta pandangan parti terhadap Bajet 2016.

Katanya, dokumen itu akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan terpulang kepada kerajaan untuk menerima pandangan itu atau sebaliknya.

"Ia selaras dengan pendirian PAS yang tidak hanya membangkang kerajaan dalam pilihan raya, sebaliknya menyediakan alternatif kepada semua pihak," katanya.

Bajet 2016 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di parlimen pada 23 Oktober lalu.

Lihat Komen
ADS