Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Kelantan lapor isu Husam pada pusat
Diterbitkan:  Nov 13, 2015 1:14 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

PAS Kelantan akan membuat laporan kepada PAS Pusat terhadap tindak tanduk anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa.

Ini susulan tingkah laku Husam yang terus mengkritik kerajaan negeri secara terbuka dan kepimpinan tertinggi parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( gambar ), lapor Harakahdaily .

“Dan tertakluk kepada PAS Pusat untuk mengambil apa-apa bentuk tindakan selepas ini,” setiausaha badan perhubungan PAS negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi dilapor sebagai berkata.

Beliau berkata walaupun kebebasan bersuara tidak dapat dihalang, anggota PAS akan dapat menilai sendiri kebenaran kenyataan yang dikeluarkan Husam.

“Bagi saya sebagai seorang pejuang demokrasi kebebasan bersuara tidak dihalang, kalau hendak bercakap cakaplah.

“Tetapi bagi orang yang sayang kepada parti dan jemaah biarlah mereka nilai dengan hati terbuka, boleh tengok sendiri kebenarannya,” katanya lagi.

Husam dalam sebuah ceramah di negeri itu sebelum ini mendakwa Hadi pernah mengaku sendiri mahu membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Beliau juga membangkitkan pelbagai isu berkaitan pentadbiran kerajaan negeri seperti isu balak, selain mengkritik kenaikan gaji wakil rakyat negeri ketika rakyat berdepan kos sara hidup tinggi.

Dewan Ulama PAS dilaporkan sudah menunjukkan jalan keluar kepada Husam kerana melihat anak didik ikon PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu sudah menjadi gunting dalam lipatan.

Husam dijadual mengumumkan keputusannya sama ada akan kekal bersama PAS pada malam ini dalam sebuah acara dialog di Kota Bharu.

Lihat Komen
ADS