Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Saya orang terbuang," ungkap Adun Salor, Datuk Husam Musa ketika memulakan bicaranya dalam program dialog "Demo Tanya Ambo Jawab" di Kota Bharu, malam tadi.

Bekas Naib Presien PAS itu berkata, beliau mengambil masa berdiam diri selama lebih dua tahun untuk menahan diri daripada mencampuri urusan kerajaan negeri itu selepas tidak dilantik sebagai exco.

"Dua setengah tahun saya mengizinkan kerajaan (Kelantan) ini berjalan, walaupun pada hari pertama saya tidak berada dalam pertadbiran kerajaan (negeri), saya telah dianggap sebagai musuh.

"Kata-kata yang dilemparkan kepada saya - ungkapan oleh orang besar-besar saya terima, tidak ada masalah.

"Biarkan saya ada satu laluan keluar daripada ‎kewajipan ini, anda semua boleh menikmati hidup sesuka hati anda," kata Husam secara sinis.

Majlis anjuran PAS Kubang Kerian itu diadakan di Dewan Kelab Suara Muda di Kota Bharu dengan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim menjadi moderator.

Husam yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kurang Kerian ternyata masih diperhatikan orang ramai kerana pada majlis malam tadi, hadirin turut melimpah sehingga ke luar dewan.

Penganjur turut menyediakan skrin besar di luar bangunan itu untuk membolehkan semua hadirin mengikuti penjelasan dibuat Husam.

Laungan takbir juga berkali-kali bergema mengiringi jawapan diberi Husam.

Tidak biarkan rakyat dikhianati

Husam juga menjelaskan, ketika keadaan kesihatan beliau yang terjejas itulah ada pelbagai pihak menyebarkan fitnah serta tuduhan tidak berasas kepadanya.

Kata bekas exco kanan Kelantan itu, sebelum ini beliau ada meminta - melalui aplikasi WhatsApp - pimpinan PAS Kelantan agar membantunya ‎menjelaskan tuduhan yang mengatakan dia mencuri kayu balak di Hutan Simpan Ulu Sat.

"Seminggu kemudian ‎tak ada sesiapa yang respon. Hanya ada seorang hamba Allah yang kata kepada saya: Kesian Datuk," jelas beliau dengan nada kecewa.

Menjawab pertanyaan mengenai mengapa beliau banyak menegur pentadbiran kerajaan Kelantan, Husam yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat berkata, ia sebenarnya boleh menguatkan parti dan kerajaan jika diolah dengan positif.

"Jawab balik persoalan saya, ia (kerajaan negeri dan PAS) akan jadi kuat, bahkan saya masih positif. Misalnya Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob‎) akan jadi kuat bila dia ambil teguran saya untuk imbangkan keadaan dalam kerajaan.

"Dia akan jadi kuat dan saya yakin dia bukan mengikut saja keputusan orang lain. Dia boleh cakap kepada pimpinan lain, macam ini tak boleh, Husam dah terangkan, ingat pada Husam," katanya.

Husam kemudian menegaskan, kelantangannya sejak akhir-akhir ini bukan untuk meruntuhkan kerajaan Kelantan sebaliknya kerana rasa sayang yang masih menebal.

"Ini kerajaan saya, sebahagian daripada exco hari ini adalah adik-adik saya yang tak tahu apa-apa ‎semasa kita membentuk kerajaan di tahun 1990.

"Saya lebih kasih kepada kerajaan negeri Kelantan, saya lebih layak untuk sayangkan kerajaan ini daripada anda semua.

"Tetapi sayang saya bukan dengan membiarkan anda mengkhianati amanah rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS