Zaki: Pilih berdasarkan prestasi calon
Para perwakilan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendaklah membuat pemilihan berdasarkan kepada kemampuan dan prestasi calon-calon yang bertanding, kata ahli exco pergerakan itu, Zaki Yamani hari ini.
Para perwakilan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendaklah membuat pemilihan berdasarkan kepada kemampuan dan prestasi calon-calon yang bertanding, kata ahli exco pergerakan itu, Zaki Yamani hari ini.
Menurutnya, apa juga keputusan yang hendak mereka buat, hendaklah mengambil kira kepentingan parti.
Zaki menegaskan demikian ketika ditanya mengenai pertandingan yang dijangka hebat bagi jawatan timbalan ketua pergerakan itu Jumaat ini.
Penyandang jawatan tersebut ialah bekas ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM), Faizal Sanusi.
Dua orang lagi yang turut dicalonkan bagi jawatan tersebut ialah Naib Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Zaki sendiri.
Ditanya sama ada beliau akan menarik diri untuk memberi laluan kepada pertandingan satu lawan satu antara Faizal dan Shamsul Iskandar, Zaki berkata:
"Apa juga keputusan yang bakal saya ambil adalah untuk kepentingan parti. Saya akan membuat keputusan itu apabila tempoh penerimaan calon berakhir petang esok."
Sokongan
Ditanya sama ada pencalonan Shamsul Iskandar dan beliau untuk mencabar Faizal ada mengena dengan latarbelakang Faizal yang sebelum ini memimpin Pemuda PRM, Zaki berkata: .
"Saya menyokong Dr Syed Hussin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden (sebelum ini presiden PRM). Dan begitu juga dengan yang lain-lainya. Jika tidak timbul soal calon ini dari PRM dan calon itu dari Keadilan.
"Bagi saya, para perwakilan patut membuat pilihan berdasarkan kepada kemampuan dan kebolehan individu-individu yang bertanding," katanya.
Persaingan bagi jawatan timbalan ketua Angkatan Muda ini dianggap menarik kerana Faizal dikatakan mendapat sokongan dari bekas ahli PRM dan kalangan ahli bukan Melayu dalam pergerakan tersebut bagi mempertahankan jawatannya.
Manakala kalangan ahli Melayu pula dikatakan memberi sokongan padu kepada Shamsul Iskandar. Difahamkan, Zaki mungkin memberi laluan kepada Shamsul Iskandar sekiranya beliau menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.
Tarikh tutup penerimaan pencalonan bagi jawatan dalam Angkatan Muda akan ditutup petang esok.
Selepas penggabungan PRM-Keadilan untuk menubuhkan PKR, Faizal telah dilantik untuk memegang jawatan timbalan ketua Angkatan Muda.
Ketuanya, Ezam Mohd Nor menang tanpa bertanding untuk jawatan tersebut. Pemilihan itu akan berlangsung Jumaat ini.
Persaingan hebat
Sumber-sumber yang rapat dengan PKR memberitahu malaysiakini , daripada apa yang dapat dilihatnya sehingga ini, persaingan bagi jawatan timbalan ketua Angkatan Muda itu akan menyaksikan persaingan antara ahli Melayu dan bukan Melayu dalam PKR.
"Saya difahamkan, bekas ahli PRM dan ahli serta pemimpin bukan Melayu dalan Keadilan kini berganding tenaga untuk memastikan Faizal mengekalkan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda.
"Manakala golongan muda dari kalangan ahli Melayu pula mahu Shamsul Iskandar menang jawatan tersebut. Oleh itu, kami menjangka persaingan tersebut hebat," tambahnya.
Sementara itu, sumber-sumber lain dalam parti itu berkata kumpulan yang menyokong Shamsul Iskandar juga mendapat sokongan daripada ahli-ahli yang sebelum ini dikaitkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Dalam pemilihan pertama parti Keadilan dahulu, pertandingan hebat berlaku membabitkan calon-calon yang dikaitkan dengan ahli Abim dalan Keadilan, termasuk bagi jawatan timbalan presiden.
Penentangan hebat itu berlaku kerana mereka dikatakan menentang cadangan untuk menggabungkan PRM dan Keadilan ketika itu.
Bagaimanapun, calon-calon mereka tewas dan sebahagian pemimpin yang dikaitkan dengan Abim terkeluar daripada pucuk kepimpinan tertinggi Keadilan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.