Ezam, Faizal menang tanpa bertanding
Desas-desus yang mengatakan pertandingan sengit akan berlaku bagi jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjadi kenyataan apabila Ezam Mohd Nor dan Faisal Sanusi kekal sebagai ketua dan timbalan ketua tanpa bertanding.
Desas-desus yang mengatakan pertandingan sengit akan berlaku bagi jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjadi kenyataan apabila Ezam Mohd Nor dan Faisal Sanusi kekal sebagai ketua dan timbalan ketua tanpa bertanding.
Bagi tiga jawatan naib ketua pula, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengekalkan jawatannya bersama dua muka baru S Manickavesagam dan Sharifah Shahidah apabila calon-calon lain menolak pencalonan.
Seramai 40 calon akan bertanding merebut 20 jawatan exco pergerakan itu. Menurut setiausaha pergerakan itu, SD Johari Yassin, kini cuba jawatan exco yang akan dipertandingkan Jumaat ini.
Seperti yang dijangkakan, Ezam menang tanpa bertanding. Bagaimanapun, timbul desas-desus sebelum ini mengenai kemungkin Faizal menghadapi cabaran bagi mengekalkan jawatannya.
Selain Faizal yang mendapat 72 pencalonan, turut dicalonkan bagi jawatan tersebut ialah Shamsul (7), Zaki Yamani (4) and SD Johari (2).
Tiada paksaan
Dipercayai calon-calon lain telah menolak pencalonan apabila Ezam dikatakan secara terbuka menyatakan beliau tidak setuju sekiranya jawatan timbalan ketua dipertandingkan.
"Kami menghormati Ezam, jadi pandangannya diambil berat. Bertanding bermakna menentang beliau dan anda tidak mahu dilihat sebagai menentang beliau.
"Saya tidak fikir mana-mana pemimpin pemuda yang bercita-cita, begitu bodoh untuk mengambil risiko tersebut," kata seorang pemimpin parti itu.
Ketika diminta mengulas perkara itu, Ezam berkata bagi beliau, Faizal merupakan calon terbaik untuk mengisi jawatan tersebut.
"Sudah berkali-kali saya mengatakannya. Saya percaya Faizal tidak harus dicabar kerana saya mahu Angkatan Muda menghormati semangat penggabungan," katanya ketika dihubungi.
Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung pada 3 Ogos lalu, menjadi Parti Keadilan Rakyat.
Sebelum penggabungan itu menjadi kenyataan, Faizal adalah Ketua Pemuda PRM.
Tiada arahan atau tekanan
Bagaimanapun, Ezam menafikan yang beliau telah memberi arahan atau mengenakan tekanan terhadap calon-calon lain supaya tidak bertanding jawatan timbalan ketua pergerakan itu.
"Mereka bertanyakan pandangan saya dan saya menyatakan pandangan saya kepada mereka. Saya tidak berkata: Jangan bertanding! Keputusan muktamadnya adalah di tangan mereka, bukannya di tangan saya," jelasnya.
Beliau juga menolak pandangan bahawa tindakannya (menyokong Faizal secara terbuka) telah menjejaskan proses demokrasi dalam parti itu.
"Seperti yang saya telah katakan, saya hanya menyuarakan pandangan saya, itu sahaja. Demokrasi membenarkan saya berbuat demikian. Jika Ketua Pemuda tidak boleh menyuarakan fikirannya, saya rasa itu bukan demokrasi. Saya tidak akan menyekat proses demokrasi ini," katanya.
Shamsul, salah seorang yang dicalonkan untuk jawatan tersebut, juga menafikan yang beliau telah ditekan atau dipengaruhi supaya menolak pencalonan itu.
"Ya, saya memang bercadang untuk bertanding selepas mendapat maklumbalas yang positif daripada akar umbi. Malah, Faisal sendiri pernah menggalakkan saya supaya bertanding. Pendirian itu tidak berubah walaupun selepas mendengar pandangan Ezam.
"Tetapi, kemudiannya saya menyedari bahawa agenda paling besar ialah untuk membina sebuah pasukan yang kuat sebagai menjadi landasan politik kepada(bekas Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Awar Ibrahim apabila beliau kembali aktif dalam politik nanti. Dan kerana itulah saya menolak pencalonan itu," katanya.

