Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu badan bebas pemantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berharap syor, terutama yang melibatkan pindaan undang-undang berkaitan rasuah dilaksana secepat mungkin.

Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2014, yang dikemu kepada kerajaan dan diedarkan kepada Parlimen pada 1 Disember lalu, menyebut pihaknya berharap syor tiga tahun lalu itu akan menjadi kenyataan dan dibawa ke parlimen secepat mungkin.

"Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah juga komited untuk melaksanakan perubahan supaya dapat mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia."

“Justeru, syor dan cadangan terutama melibatkan pindaan undang-undang sudah dikemukakan tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke parlimen untuk diluluskan," kata jawatankuasa itu.

Menurut Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah lagi, pihaknya amat terkilan kerana sehingga hari ini pindaan-pindaan yang disyorkan masih belum dibawa ke parlimen.

"Dalam perkara ini, YAB perdana menteri sendiri telah menyatakan pendirian dari segi prinsip, beliau menyokong cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

"Justeru, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dengan sesungguhnya berharap semua pihak yang terlibat dapat memberi pertimbangan yang serius untuk merealisasikan hasrat yang murni ini pada tahun ini," kata jawatankuasa itu.

Antara yang pernah disyorkan ialah pindaan undang-undang melibatkan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009, pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah Malaysia, aspek pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM bawah Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam.