Najib: Sama ada gabungan pimpinan Umno atau didominasi DAP
Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata realiti politik di Malaysia hari ini ialah rakyat mempunyai cuma dua pilihan - sama ada gabungan yang dipimpin oleh Umno ataupun satu lagi gabungan yang dipimpin atau didominasi oleh DAP.
Katanya, maksud beliau seandainya dan sekiranya Umno ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang didakwanya anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.
"Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah…," kata Najib dalam ucapan dasar di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.
Sebelum itu beliau berkata sejak akhir-akhir ini, rakyat sering dimomok-momokkan oleh parti pembangkang, kononnya, mereka adalah alternatif untuk menggantikan kerajaan BN.
Contoh yang sangat ketara sekarang, dakwa Najib, betapa DAP, cuba ‘menguasai’ parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
" Ini dapat kita lihat, bilamana ada di kalangan pemimpin mereka, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding di lapan kerusi DUN yang dimenangi oleh PAS di Selangor sebelum ini, pada pilihanraya umum ke-14 kelak.
Lebih-lebih lagi DAP di Sarawak, dakwa Najib, dengan angkuhnya memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR, kerana ingin bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Negeri Sarawak nanti
Menurut Najib, itulah dia DAP, yang didakwanya tidak pernah setia dengan rakan gabungannya.
"Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi.
"Seterusnya, DAP mencuba lagi berpakat di tahun 2008 dan 2013 dengan PAS dan PKR. Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti.
"Mutakhir ini pula, parti PAS telah disepak dan diterajang keluar daripada pakatan mereka macam itu saja.
Ternyata, dakwa Najib, puak-puak DAP tak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka.
"Cubalah kita fikir dan renung-renungkan. Nak berpakat pun payah, jadi,… macam mana nak perintah negara?" tegasnya.

