Yang dipertua nafi hanya 6 senator hadir sesi perbahasan
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa hanya enam senator hadir dalam satu sesi perbahasan di Dewan Negara baru-baru ini.
Menyifatkan berita tersebut mengelirukan, Abu Zahar berkata ia juga mencemarkan nama baik institusi perundangan negara itu.
"Tidak bagus buat cerita macam tu... mengelirukan keadaan. Contohnya apabila waktu Maghrib, senator yang beragama Islam keluar solat dan selepas itu mereka akan masuk semula dalam dewan," katanya mengulas laporan sebuah akhbar mengenai perkara tersebut.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis perpisahan bagi tiga anggota Dewan Negara yang tamat tempoh perkhidmatan di Bangunan Parlimen, hari ini.
Mereka ialah Senator Datuk Seri Idris Jala, Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah dan Senator Dr Syed Husin Ali.
Terdahulu dalam ucapannya, Abu Zahar menyifatkan tiga senator berkenaan sebagai anggota dewan yang cemerlang dan telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Idris iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dilantik sebagai senator pada 1 Sept 2009 dan dilantik semula untuk penggal kedua pada 3 September 2012.
Muhammad Olian dan Syed Husin masing-masing dilantik sebagai senator pada 10 Dis dan 17 Disember 2012.
- Bernama

