Jawatankuasa Fatwa di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan belum membuat keputusan berhubung status pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di kawasan masing-masing.
Pengerusi Fatwa Negeri Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, buat masa ini tiada sebarang fatwa yang dikeluarkan mengenai pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di Selangor.
“Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan membuat keputusan (mengenai pengharaman rokok elektronik atau vape) dalam mesyuarat pada awal tahun 2016 setelah mendapat maklumat tambahan daripada kerajaan negeri mengenai bahaya penggunaannya terhadap kesihatan seseorang individu,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian .
Semalam, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan pengunaan rokok elektonik atau vape adalah haram berdasarkan kajian yang dijalankan dalam pelbagai sudut seperti syariah, perubatan dan saintifik.
Fatwa itu diumumkan oleh Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin selepas mempengerusikan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mana menurutnya hasil kajian yang dilakukan penggunaan rokok elektronik atau vape didapati memudaratkan tidak kira kesannya cepat atau lambat terhadap seseorang individu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, sehingga kini keputusan berhubung isu tersebut masih belum dibuat kerajaan negeri kerana mahu menunggu keputusan rasmi dibuat terlebih dahulu oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai agensi pelaksana, kita (JAIPk) sedang menunggu keputusan yang akan dibuat pihak berkuasa khususnya pihak yang bertanggungjawab berhubung isu ini iaitu kerajaan negeri dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata pihaknya akur dengan setiap keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri kelak.
Manakala, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad pula berkata, buat masa ini Jawatankuasa Fatwa negeri tidak akan mengeluarkan sebarang fatwa meď ngenai pengharaman penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape sebelum Muzakarah Fatwa negeri berlangsung.
“Kita menyambut baik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape. Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa negeri akan membuat keputusan berhubung status pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri ini dalam mesyuarat yang akan diadakan bulan hadapan,” katanya.
