Sembilan pertubuhan Cina sedang dalam proses menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk membincang dan merangka rancangan untuk manfaat masyarakat Cina bagi membolehkan mereka memberikan cadangan apabila Rancangan Malaysia kesembilan digubal.

Antara pertubuhan itu ialah Persekutuan Persatuan Cina, Dong Zong, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Gabungan Persatuan Perniagaan Cina, Alumni Universiti Nanyang, Persatuan Graduan di Taiwan, dan Gabungan Tujuh Persatuan Perkampungan Cina.

Akhbar Nanyang Siang Pau memetik Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Dr Yap Sin Tian sebagai berkata demikian ketika berucap di satu majlis masyarakat Cina, dalam laporannya di muka A15 (Nasional) hari ini.

Menurut Dr Yap lagi, tajuk perbincangan jawatankuasa itu sangat luas, terutamanya mengenai masalah pengenaan cukai terhadap sumbangan kewangan bagi tanah perkuburan Cina yang akan dibincangkan secara lanjut.

Sebenarnya, kata beliau, masalah cukai yang dikenakan ke atas sumbangan kewangan bagi tanah perkuburan Cina belum diselesaikan secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak faham mengapa kerajaan mengenakan cukai bagi sumbangan kewangan daripada masyarakat untuk tujuan tersebut.

Menurutnya sikap baik hati merupakan tanggungjawab sosial yang harus dipikul oleh setiap orang, tambahan lagi kerajaan juga menggalakkan rakyat berbuat demikian.

Namun begitu, katanya, cukai yang dikenakan ke atas sumbangan kewangan itu bertentangan dengan galakan kerajaan itu.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan sepatutnya mengecualikan cukai tersebut serta meminda akta yang berkaitan bagi memenuhi kehendak rakyat.

200 tunjuk perasaan di Kementerian Kesihatan

Akhbar Oriental Daily News pula menyiarkan di muka A4 (Nasional) berita mengenai kira-kira 200 orang mengadakan tunjuk perasaan di Kementerian Kesihatan bagi membantah keputusan kerajaan menswastakan dispensari hospital.

Tunjuk perasaan yang diketuai Parti Sosialis Malaysia itu, disertai 78 badan kerajaan dan parti pembangkang. Mereka berhimpun di depan Kementerian Kesihatan mulai jam 11 pagi.

Mereka juga mengemukakan memorandum manakala 12 wakil mereka kemudiannya mengadakan perbincangan selama sejam dengan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Soi Lek

Dalam perbincangan itu, Chua menjelaskan kepada mereka bahawa kerajaan tidak bercadang mengswastakan dispensari hospital kerajaan di seluruh negara.

Katanya, hanya hospital di Putrajaya dan Selayang sahaja yang mendirikan dispensari swasta menerusi skim bayaran penuh pesakit.

Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan tersebut, wakil Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua berkata pihaknya masih bimbang hospital kerajaan akan menuju ke arah penswastaan tersebut.

90 peratus penghuni berjaya dipulihkan

Manakala akhbar Sin Chew Daily pula, dalam laporannya di muka 20 (Dalam Negeri), memetik Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chew Mei Fun sebagai berkata 18 pusat pemulihan belia di negara ini mencapai kejayaan melebihi 90 peratus dalam membantu muda-mudi kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyumbang dan menyokong aktiviti-aktiviti untuk mengisi tabung kewangan pusat pemulihan.

Menurutnya, sikap masyarakat yang dapat menerima semula muda-mudi bermasalah selepas mereka dipulihkan, merupakan salah satu sebab kejayaan tersebut.

Malah, katanya, muda-mudi terbabit juga akan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara selepas dipulihkan di pusat-pusat tersebut.