Apa status air, ikan, udang lepas sungai 'merah'?
PKR membangkitkan sama ada sumber air sekitar Kuantan tercemar susulan air Sungai Balok dan pantai berhampiran bertukar warna seakan-akan merah, dipercayai dicemari bauksit.
Parti itu juga berkata “warga Malaysia akan hilang keyakinan terhadap ikan, udang dan sumber lautan lain yang ditangkap di sekitar Kuantan”.
“PKR mendesak kerajaan persekutuan supaya mencampur tangan terhadap isu ini dan membekukan semua lesen eksport bauksit dengan segera,” kata Ketua Biro Alam Sekitar PKR Lee Chean Chung (
gambar
).
“Rakyat Pahang sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri dan kebanyakan rakyat berpendapat bahawa kerajaan Pahang tiada keinginan untuk menyelesaikan isu pencemaran bauksit.”
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu juga berkata langkah pembekuan lesen eksport mampu memulihkan pencemaran yang berlaku di sekitar Kuantan.
Bernama melaporkan, hujan lebat sepanjang hari kelmarin, menyebabkan air Sungai Balok dan pantai berhampiran 'bertukar' warna seakan-akan merah dipercayai dicemari bahan galian bauksit.
Air sungai itu menyebabkan air di beberapa kawasan pantai termasuk Pantai Batu Hitam turut kemerah-merahan, seperti 'bercampur' lumpur.
Aktiviti perlombongan bauksit juga menyebabkan penduduk berhampiran tidak senang duduk semasa hujan lebat, kerana bimbang berlaku runtuhan tanah bauksit atau banjir disebabkan longkang dipenuhi tanah.
Kejutan gambar
Dalam kenyataannya petang ini, Lee juga berkata mereka terkejut dengan pendedahan gambar Sungai Balok dan Pantai Berserah yang didakwa tercemar sehingga menjadi merah.
Malah, kata ketua penerangan Pemuda PKR itu, ini bukan kali pertamanya pencemaran berlaku di pantai di sekitar Beserah, Pahang.
Sebelum ini, katanya, air sungai di sekitar Kuantan telah terdedah memiliki kandungan merkuri dan logam berat melebihi piawai.
“Saya merasa amat kesal dengan sikap kerajaan Pahang yang lalai dan tidak serius dalam mengendalikan isu pencemaran bauksit,” katanya sambil menegaskan isu itu telah dibangkitkan sejak setahun lalu.

