Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil minggu depan setelah pelabur berkemungkinan kekal berhati-hati terhadap prospek pasaran, kata seorang peniaga.

Beliau berkata indeks diunjur bergerak antara 1,660 dan 1,700 mata.

Beberapa pelabur dijangka kekal tidak memasuki pasaran setelah kurang petunjuk dan ketidaktentuan dalam pasaran global, katanya.

"Pasaran berkemungkinan menyaksikan pergerakan yang lebih cenderung kepada penurunan selepas aktiviti memperelok akaun akhir tahun terutamanya jika pasaran minyak mentah dan ringgit terus turun," katanya.

Pasaran tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi minggu ini dengan kegiatan memperelok akaun sebelum menyusut pada hari terakhir dagangan mendahului hujung minggu yang panjang.

Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti tahun baru.

Bagi minggu dagangan singkat sempena cuti umum, FBM KLCI naik 29 mata kepada 1692.51 daripada 1,663.51 pada Rabu lepas.

Indeks FBM Emas naik 165.95 mata kepada 11,793.65, Indeks FBMT100 melonjak 168.12 mata kepada 11,470.57, FBM Emas Syariah menokok 194.87 mata kepada 12,800.65, FBM 70 menambah 90.27 mata kepada 13,135.15 dan FBM Ace meningkat 56.57 mata kepada 6,389.24.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 145.27 mata kepada 14,159.21, Indeks Perladangan melonjak 113.91 mata kepada 7,619.64 dan Indeks Perusahaan menambah 80.56 mata kepada 3,269.80.

Jumlah dagangan naik kepada 6.98 bilion unit bernilai RM6.66 bilion berbanding 5.08 bilion unit bernilai RM4.78 bilion yang dicatatkan minggu lepas.

Di pasaran utama, jumlah dagangan meningkat kepada 4.66 bilion saham bernilai RM6.12 bilion berbanding 3.39 bilion saham minggu lepas bernilai RM4.41 bilion.

Bagi waran jumlah dagangan melonjak 851.14 juta unit bernilai RM132.4 juta daripada 629.11 bilion unit bernilai RM115.16 juta pada Rabu lepas.

Pasaran ACE, bagaimanapun, turun kepada 1.47 bilion saham bernilai RM399.72 juta daripada 1.06 bilion saham bernilai RM256.23 juta sebelumnya.

- Bernama