Selepas berjaya mendesak kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) beberapa tahun lalu, sekumpulan aktivis bahasa Melayu mengumumkan himpunan kedua mereka Mac ini.

Kali ini, himpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu menyasarkan Program Dwibahasa (DLP) untuk pengajaran mata pelajaran terpilih di sekolah.

Pengerusinya Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain berkata ia akan diadakan jika rundingan mereka dengan kerajaan bagi membatalkan DLP, yang dirujuk sesetengah aktivis sebagai 'PPSMI 2.0', tidak berjaya.

“(Kami sedang) buat perancangan lebih intensif bermula dari sekarang.

“Kalau akhir Februari tidak ada perubahan dan (kami memilih) untuk tunjuk perasaan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Angkatan Belia Malaysia (ABIM) Pusat di Gombak.

Shaharir berkata, demonstrasi ini akan diadakan serentak di seluruh negara dan menjangkakan jumlah kehadiran yang ramai.

Menurutnya jika dilihat perhimpunan PPSMI sebelum ini, ia berjaya menghimpunkan lebih 100,000 orang hanya di Kuala Lumpur.

“Sebelum ini berjaya himpunkan sekitar 100,000 orang dan itu di Kuala Lumpur…

“Kali ini lain sikit kerana kami akan buat serentak di seluruh negara,” katanya.

Jumpa PM, Sultan Perak

Sementara itu Shaharir berkata, sebelum demo itu diadakan, pihaknya akan berusaha mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan akan berjumpa dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Kita akan mengadap Majlis-majlis Diraja untuk menyampaikan memorandum kerana kita dapati program DLP ini bercanggah dengan perjanjian Raja-raja Melayu…

“Dan selain dari itu Insya Allah kita akan menyediakan surat dan akan bertemu dengan Sultan Perak bagi menyatakan perkara ini,” katanya.