Global I Korea Utara mengumumkan bahawa mereka berjaya menjalankan ujian bom hidrogen beberapa jam selepas berlakunya gempa bumi berskala 5.1 magnitud yang dikesan berhampiran tapak ujian tersebut dijalankan di negara itu.

Sebelum pengumuman yang dibuat di rangkaian televisyen negara berkenaan, agensi meteorologi Korea Selatan memberitahu bahawa Korea Utara mungkin menjalankan ujian nuklear berdasarkan kepada data berhampiran gempa bumi, lapor Al Jazeera.

Selain itu, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi yang dimaksudkan Korea Selatan itu mempunyai jarak 49 kilometer (30 batu) dari tapak Punggye-ri- tapak pihak Korea Utara menjalankan ujian nuklearnya sebelum ini.

"Kami mengesyaki gempa bumi buatan manusia dan kini menganalisis skala dan pusat gempa," kata pegawai pentadbiran meteorologi Korea.

Ketika USGS menganggarkan kedalaman gempa bumi 10km, agensi Korea Selatan berkata kedalaman gempa itu hampir ke permukaan.

Ia dikesan selepas jam 10 pagi waktu Seoul.

Korea Utara yang berada di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi program nuklear dan peluru berpandu telah menjalankan tiga ujian nuklear iaitu pada tahun 2006, 2009 dan 2013- kesemuanya di Punggye-ri.