Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasuah bauksit: SPRM tahan enam lagi anggota Pejabat Tanah
Diterbitkan:  Jan 11, 2016 11:00 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lagi anggota Pejabat Tanah dan Galian, Pahang semalam untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan perlombongan bauksit secara haram di negeri itu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki dipetik akhbar Utusan Malaysia sebagai berkata lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 42 dan 57 tahun itu ditahan semalam mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

Mereka yang ditangkap itu adalah pegawai Pejabat Tanah dan Galian yang terlibat dalam pengeluaran dokumen pemindahan mineral (Borang 13D) untuk perlombongan bauksit haram di negeri itu.

Ini menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini adalah 13 orang, di mana 10 daripada mereka adalah kakitangan Pejabat Tanah dan Galian.

Empat daripada mereka ditahan Khamis lalu dan kes itu melibatkan nilai dakwaan rasuah lebih RM100,000, manakala tiga lagi ditahan dua hari kemudian.

Semua mereka kini diambil keterangan dan penentuan sama ada pihak SPRM akan mendapat perintah reman terhadap mereka akan diputuskan hari ini.

Suruhanjaya itu sedang menjalankan siasatan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam rasuah aktiviti perlombongan bauksit haram yang telah menyebabkan jumlah anggaran RM187 juta royalti hilang tahun lalu.

Lihat Komen
ADS