Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

'Kabinet dapur' Najib penuh tikus, lipas - Mahfuz

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan langkah kerajaan mahu menyemak semula Bajet 2016 berikutan kejatuhan harga minyak pada kedudukan USD32 satu tong.

Menurutnya, kegagalan mengunjurkan bajet pada jangkaan penurunan harga minyak dunia menunjukkan Malaysia menghadapi faktor kelemahan dalaman sewaktu merangka bajet.

Sedangkan katanya, Malaysia mempunyai dua menteri dan timbalan menteri kewangan, Bank Negara dan pelbagai institusi kerajaan yang sepatutnya membekalkan maklumat dan nasihat yang tepat.

"Inilah "Malaysia Boleh" yang mempunyai jumlah anggota kabinet melebihi negara maju yang mempunyai penduduk yang jumlahnya jauh lebih besar daripada Malaysia.

"Tetapi Malaysia hanya memiliki kabinet dapur yang dipenuhi dengan lipas dan tikus yang menggigit sabun cap kapak," kata Mahfuz.

Bulan lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar berkata kerajaan akan menyemak semula Bajet 2016 sekiranya harga minyak mentah brent terus jatuh di bawah paras AS$48 satu tong.

Bagimanapun menurut Wahid, kerajaan menjangka terdapat potensi harga minyak mentah akan naik tahun depan.

"Kenapa kerajaan begitu lemah sewaktu merangka bajet 2016 dengan bersandarkan pada harga minyak USD48 satu tong, pada hal dunia sedang menyaksikan penurunan harga minyak pada waktu itu dan sejak hujung tahun 2014 lagi?," soal Mahfuz.

"Bila bajet 2016 nak disemak semula, kerajaan pun memberi alasan ini disebabkan faktor luaran iaitu kejatuhan harga minyak dunia.

"Sepatutnya jika kerajaan daripada awal dapat membaca trend penurunan harga minyak tiadalah keperluan untuk semak semula bajet 2016," ujarnya.