Rafizi: 1MDB langgar syarat sukuk RM2.4 bilion
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa bahawa penjualan ekuiti 60 peratus 1MDB dalam projek pembangunan Bandar Malaysia melanggar perjanjian terbitan sukuk yang sepatutnya digunakan untuk kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf beberapa pangkalan tentera dan polis.
Katanya, berdasarkan perjanjian itu yang diterbitkan oleh 1MDB di mukasurat 30 dan 32 menyatakan Perkara 2(w)(i)(12) bahawa Bandar Malaysia Sdn Bhd (“the issuer” atau penerbit sukuk) hendaklah kekal menjadi anak syarikat milik penuh 1MDB (iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB).
“Pengumuman penjualan 60 peratus pegangan 1MDB di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada konsortium swasta yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China sudah tentu akan menjadikan Bandar Malaysia Sdn Bhd hanyalah syarikat bersekutu (“associated company”) dan bukannya syarikat milik penuh 1MDB seperti syarat di atas.
“Oleh itu, salah satu tiang utama program rasionalisasi 1MDB yang dijalankan oleh Datuk Seri Najib Razak sebenarnya melanggar perjanjian terbitan sukuk yang masih berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Rafizi berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 18 Mei 2014, perdana menteri mengesahkan bahawa Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) turut mempunyai bon yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd.
Sebelum itu, katanya, beliau juga mendedahkan bahawa bon yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia dilanggan oleh Tabung Haji.
“Semakan saya dari maklumat umum menunjukkan daripada sejumlah RM1.5 bilion yang diterbitkan di bawah Perjanjian Sukuk RM2.4 bilion ini, sebanyak RM920.8 juta telah dilanggani oleh Tabung Haji dan besar kemungkinan bakinya RM579.2 juta dilanggani oleh KWAP.
“Saya telah mengulangi perkara ini berkali-kali dan tidak pernah dinafikan oleh 1MDB atau Najib setakat ini,” katanya.
Oleh itu, Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan menuntut pihak pengurusan Tabung Haji dan KWAP sekiranya tidak bersetuju dengan pelanggaran syarat itu kenapa tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 1MDB?
Beliau juga menyoal jika pengurusan Tabung Haji dan KWAP bersetuju dengan pelanggaran syarat itu, siapa yang memberi kebenaran kepada pengurusan Tabung Haji dan KWAP untuk bersetuju?
“Bilakah Tabung Haji dan KWAP akan mendapatkan kembali dana yang dipinjamkan kepada Bandar Malaysia melalui terbitan sukuk ini yang setakat ini dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion? soalnya.
Menurut Rafizi, skandal ini akan terus menjadi sensitif kerana dana yang tidak dibelanjakan untuk pemindahan dan naiktaraf pangkalan tentera udara itu adalah dana Tabung Haji dan KWAP.
Malaysiakini telah menghubungi 1MDB untuk menjawap dakwaan berkenaan.

