Beli ikan untuk bantu nelayan mangsa tsunami
Pendapatan nelayan di kawasan bencana tsunami di Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara tanahair terjejas berikutan tersebarnya berita bahawa ikan yang ditangkap nelayan, tercemar kerana memakan mayat-mayat yang terapung di laut.
Pendapatan nelayan di kawasan bencana tsunami di Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara tanahair terjejas berikutan tersebarnya berita bahawa ikan yang ditangkap nelayan, tercemar kerana memakan mayat-mayat yang terapung di laut.
Berikutan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal menggesa orang ramai supaya jangan mempercayai khabar angin itu kerana ikan yang ditangkap oleh nelayan terbabit adalah selamat untuk dimakan.
Beliau dipetik oleh media sebagai berkata, kerajaan tidak mahu khabar angin seumpama itu berterusan, sebaliknya menasihatkan para nelayan turun ke laut selepas mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Lee Jong-Wook juga dilaporkan berkata ikan yang ditangkap berhampiran kawasan bencana tsunami di pantai Sri Lanka adalah selamat untuk dimakan.
"WHO sentiasa menggalakkan orang ramai memakan ikan kerana ia kaya dengan sumber protein," katanya dalam satu sidang akhbar kelmarin.
Peniaga di Sri Lanka mendakwa penduduk di kawasan terbabit telah berhenti membeli ikan kerana bimbang ia memakan mayat bangsa tsunami yang hanyut di laut.
Manakala pakar-pakar yang lain pula berkata, kebimbangan itu adalah akibat kesan psikologi selepas tsunami melanda lebih 11 negara pada 26 Disember lalu.
Sekurang-kurangnya, 156,orang terkorban dan ramai masih hilang dan mereka dipercayai turut terkorban dan mayat mereka telah dihanyutkan ke laut.
Di Malaysia pula, sejumlah 68 orang terkorban dalam bencana itu, sebahagian besarnya di Pulau Pinang.
Peserta PLKN ke Aceh
Sementara itu, 1,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan turut serta dalam operasi membantu di kawasan yang dilanda bencana tsunami.
Akhbar The Star melaporkan, daripada jumlah itu, 500 pelatih akan dihantar ke Aceh untuk mendiri 2,000 khemah yang boleh menempatkan 15,000 mangsa tsunami.
Presiden Persatuan Operator Kem Latihan PLKN, Kamal Amir Hijaz berkata mereka akan dipilih dari kalangan peserta program tersebut.
Manakala seorang lagi pegawai PLKN dilaporkan berkata peserta yang lainnya, akan membantu membersihkan pantai, kampung dan rumah-rumah di kawasan yang dilanda tsunami di Kuala Muda, Langkawi dan juga di Perlis.
Kerugian akibat bencana tsunami di Kedah, yang paling teruk mengalami kerosakan prasarananya, dianggarkan RM21 juta.
Walaupun terletak lebih hampir pusat gerak gempa yang mengakibatkan kerosakan teruk di negara-negara lain, tetapi Malaysia terselamat daripada bencana lebih teruk, kerana terlindung oleh Pulau Sumatera.
- AFP

