Syed Razak: Salur derma melalui Tabung Bencana Kedah

Muda Mohd Noor        

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Syed Razak Zain kecewa dengan sikap sesetengah penderma yang menyalurkan bantuan terus kepada mangsa tsunami di negeri itu tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Antara penderma itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang menghulurkan RM960,000 sumbangan Kerajaan Selangor kepada mangsa tsunami di Kota Kuala Muda Jumaat lalu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman juga menyampaikan sumbangan RM200,000 dari Kerajaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, sumbangan kedua-dua kerajaan negeri itu tidak diserahkan Tabung Bencana Negeri, tetapi sebaliknya disalurkan terus kepada mangsa melalui pihak-pihak yang bertanggungjawab bertugas di tempat pemindahan mangsa tsunami.

Tindakan seperti itu, menurut Syed Razak, menyukarkan kerajaan negeri untuk menyalur wang bantuan berkenaan ke dalam Tabung Bencana Negeri.

"Saya berterima kasih kepada beliau (Khir Toyo dan Musa) tetapi mereka datang tanpa pengetahuan saya dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri yang lain.

"Kepada para penderma lain, baik tokoh politik dan korporat, sama ada di Kedah atau di tempat lain, mereka hendaklah menyalurkan bantuan tersebut mengikut saluran yang telah ditetapkan," katanya ketika merasmikan gotong-royong perdana anjuran Pemuda Umno Kedah di Kuala Muda, semalam.

Pembiayaan tambahan

Ketua Wanita Umno, Datuk Paduka Rafidah Aziz dan timbalannya Datuk Sharizat Abdul Jalil turut hadir di gotong-royong tersebut yang disertai 500 peserta dari Persatuan Anak Kedah Wilayah Persekutuan/Selangor dan sukarelawan dari Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Melaka juga turut menyumbangkan RM250,000 melalui Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Setakat ini Tabung Bencana Negeri Kedah telah mengumpul kira-kira RM5 juta sumbangan pelbagai pihak termasuk korporat, parti politik dan orang ramai sejak bencana tersebut berlaku pada 26 Disember lalu.

Syed Razak berkata, wang dari tabung tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membantu mangsa tsunami tanpa mengira fahaman politik mereka.

"Saya sedih dan kecewa kerana masih ada mangsa yang membuat dakwaan mereka tidak puas hati dengan pembahagian bantuan tersebut walaupun kita bekerja keras untuk supaya mereka mendapat semua bantuan yang diperlukan," katanya lagi.

Menurutnya, jika bantuan untuk mangsa bencana tsunami daripada Tabung Bencana Negara dan Kerajaan Pusat tidak cukup, kerajaan negeri akan membuat pembiayaan tambahan.

Bagaimanapun beliau berpuashati dengan sumbangan yang diberikan kepada mangsa tsunami, baik dalam bentuk wang ringgit mahupun tenaga, bagi membersihkan rumah dan kawasan sekitar.

Katanya, kawasan Kota Kuala Muda kini dibanjiri orang ramai hampir setiap hari dan hujung minggu mencecah sehingga 600 orang dari seluruh pelosok negara untuk membantu dan melihat kejadian sebenar mangsa yang dilanda tsunami.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In