CIMB: Tiada pekerja Malaysia, Indonesia diberhenti tahun ini
Kumpulan CIMB tidak lagi mengurangkan pekerjanya di Malaysia dan Indonesia pada 2016 selepas proses skim pemisahan sukarela tahun lepas. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata bank itu kini memberi tumpuan ke atas usaha meningkatkan produktiviti dan memenuhi agenda perniagaannya.
"Kami sudah menyelesaikan skim pemisahan sukarela dan tidak lagi merancang untuk meneruskannya di sini atau Indonesia," katanya kepada pemberita selepas menyampaian hadiah kepada pemenang Cabaran Saham ASEAN CIMB 2015 di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Jumaat, CIMB mengurangkan 32 jawatan dalam perniagaan ekuiti dan perbankan pelaburan di Hong Kong disebabkan keadaan pasaran modal yang semakin lemah.
Zafrul berkata bagi tempoh enam bulan pertama 2016, bank itu menjangkakan unjuran akan mencbar berdasarkan persekitaran ekonomi semasa.
"Namun, saya menjangkakan prestasi bank semakin meningkat kerana jika melihat kepada nisbah modal dan ekuiti semua bank di Malaysia, kami lebih daripada memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh bank pusat.
- Bernama

