Pakatan Harapan akan menambah baik dasar-dasar bersama gabungan itu ke arah lebih radikal bagi menangani isu berkaitan rakyat, terutamanya bangsa Melayu yang sebelum ini didakwa dimanipulasi BN.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata antara isu dan dasar yang akan diberikan perhatian adalah kebajikan, ekonomi dan pendidikan rakyat di negara ini.

“Pengundi dan rakyat Malaysia tahu objektif selepas kita kupas isu-isu dengan mendalam, berani dan radikal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat DAP di ibu negara hari ini.

“Ia memberi satu wawasan yang jelas kepada rakyat Malaysia bagi memilih Pakatan Harapan bagi melihat Malaysia yang lebih baik dari apa yang kita ada sekarang.”

Rafizi berkata, walaupun terdapat perkara yang dikhususkan kepada orang Melayu, pihaknya akan tetap memberikan perhatian kepada bangsa lain.

“Kita bercakap dalam kerangka untuk semua rakyat Malaysia tetapi ada perkara-perkara khusus yang kita perlu bercakap (kepada orang Melayu).

“Kita perlu hakikat yang cara komunikasi dan mesej kepada pengundi Melayu mesti buat penambahbaikkan,” katanya.

Rafizi bagaimanapun tidak menjelaskan secara jelas bentuk radikal yang akan dibuat ke atas dasar-dasar tersebut.

Katanya, Pakatan Harapan akan menjelaskan dasar mereka secara berperingkat kepada rakyat di negara ini bagi memberi ruang kepada semua yang terlibat untuk menyesuaikan diri.

“Perlu dikupas dengan lebih mendalam (isu) sebab itu ia dilancarkan secara berperingkat untuk membina momentum.

“Kita juga nak beri masa dan ruang sepenuhnya kepada pihak berkepentingan untuk bincang dan teroka,” katanya.

Katanya, dasar-dasar tersebut akan dikeluarkan bermula April selepas berakhirnya pilihan raya negeri Sarawak.

Manakala keseluruhan dasar akan dikeluarkan pada Julai iaitu ketika Konvensyen Pakatan Harapan melibatkan PKR, DAP dan serpihan PAS, Parti Amanah Nasional (AMANAH).