‘Media, media sosial boleh pecah-belahkan rakyat’
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu kerajaan mengukuhkan pendirian ke atas media dan media sosial kerana ia boleh menjadi satu platform untuk memecahbelahkan rakyat.
Mengambil diri baginda sebagai contoh, titahnya, Johor sentiasa menjadi moden dan unik berbanding dengan negeri lain di Tanah Melayu dan hakikat itu menyebabkan orang sentiasa cemburu.
“Tetapi apabila negara dalam kekacauan, anda mula mengusulkan kepada DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor untuk menyuarakannya kepada para pemimpin anda.
“Anda lupa apa yang anda telah lakukan adalah membuat Bangsa Johor, termasuk diri saya seolah-olah kami ini orang luar. Saya menggesa kerajaan agar benar-benar melihat situasi ini,” katanya di Facebook, Johor Southern Tigers, malam semalam.
Sebuah portal pro-Umno, Mykmu, semalam mendakwa syarikat jenama sukan gergasi Nike mungkin menyaman Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kerana konsep video pelancaran jersinya hampir sama dengan iklan Nike tetapi baginda bertitah bahawa tidak ada isu sebenarnya.
Sebaliknya, titahnya, baginda telah membawa banyak pembaharuan kepada bola sepak.
“Saya ingin menggesa anda semua usah melayan mereka yang mempunyai mentaliti rendah kerana saya juga mempunyai satu soalan untuk anda.
“Sejak transformasi JDT pada tahun 2013, anda semua telah dikutuk, dikritik dan diperkecilkan termasuk diri saya.
“Tetapi di mana kelab kita sekarang ini berbanding dengan semua kelab-kelab yang lain? Oleh itu, mengapa kita perlu melayan mereka. Biarkan mereka terus menyalak bukit, bukit tidak akan runtuh,” katanya lagi.
Portal itu bagaimanapun kemudiannya menarik balik artikel tersebut dengan alasan ia mengelirukan orang ramai bahawa Nike akan menyaman PBNJ.

