Pengendali Line Clear diberi 3 minggu kosongkan kedai
Pengendali restoran nasi kandar popular Line Clear diberi tempoh tiga minggu untuk mengosongkan kedainya di Penang Road, Pulau Pinang.
Ia susulan kegagalan permohonan semakan kehakiman pengendali semasanya Abdul Hamid Seeni Parkir, 67, di Mahkamah Tinggi di George Town bagi membatalkan keputusan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 2014, lapor mStar .
Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah berkata MPPP mempunyai budi bicara dan kuasa bawah Akta Kerajaan Tempatan untuk memberikan lesen kepada peniaga itu berdasarkan sistem penggiliran.
Beliau dilapor memutuskan bahawa majlis bertindak secara wajar dan sah serta tidak bercanggah atau melanggar keadilan asasi.
"Keputusan majlis itu adalah mengikut undang-undang, rasional dan sah," Collin dipetik sebagai berkata.
Selepas keputusan dibacakan, peguam Abdul Hamid, M Kumar secara lisan memohon penangguhan perintah sementara menunggu rayuan interim, tetapi ditolak.
Isu perebutan giliran Restoran Nasi Kandar Line Clear bermula apabila MPPP memberi lesen kepada Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latiff Thulkarunai dan Pathumah Iskandar yang dikatakan tanpa pengetahuan anggota keluarga lain.

