Beg tinggal: Polis arah pelajar kosongkan universiti di PJ
Pelajar dan kakitangan sebuah kampus universiti di Petaling Jaya, pagi tadi dipindahkan berikutan kebimbangan terdapatnya ancaman bom.
Menurut sumber polis, sepasukan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau juga mendedahkan bahawa kebimbangan mengenai ancaman bom itu berikutan penemuan sebuah beg yang ditinggalkan di kolej itu.
Bagaimanapun selepas pemeriksaan dijalankan di seluruh bangunan selama kira-kira satu jam setengah, polis tidak menjumpai sebarang objek yang disyaki.
Semua pelajar kemudian dibenarkan masuk ke dalam bangunan terbabit semula kira-kira pukul 2.15 petang.
Malaysia diletakkan pada tahap berjaga-jaga maksimun berikutan serangan pengganas di Jakarta minggu lalu.
Serangan di pusat membeli belah Sarinah Mall di kota Jakarta pada 14 Januari lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh.

