Tiada pengangguran ketara, kata pakar ekonomi
Meskipun terdapat kebimbangan berhubung keputusan Petronas untuk mengurangkan sebanyak RM50 bilion dalam perbelanjaan modal dan operasinya dalam tempoh empat tahun akan datang, seorang ahli ekonomi percaya ia tidak akan memberi kesan besar kepada kadar pengangguran negara.
"Kadar pengangguran di Malaysia masih agak rendah," kata Ketua Ekonomi, Bank OCBC, Selena Ling.
"Apa yang kita lihat di seluruh Asia, sektor minyak dan gas dan perkilangan mengambil peranan (pekerjaan) lebih kecil manakala sektor penggunaan dan perkhidmatan domestik akan mengambil peranan sokongan," katanya.
"Jadi akan terdapat penyerapan tenaga buruh daripada sektor pembuatan, minyak dan gas tradisional. Sudah tentu proses peralihan mungkin tidak lancar ketika pekerja sedang dilatih.
"Tetapi setakat ini, kita tidak melihat kadar pengangguran yang ketara seperti pada krisis kewangan Asia dan krisis kewangan global," katanya pada sidang akhbar mengenai prospek ekonomi OCBC pada tahun 2016.
Petronas, awal minggu ini mengumumkan akan mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex) syarikat sehingga RM50 bilion berikutan harga minyak mentah yang terus merudum.

