Polis menahan enam lelaki kerana disyaki melakukan perbuatan khianat ke atas harta benda awam di beberapa kawasan sekitar ibu negara pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu dilaporkan menconteng lambang anarki menggunakan semburan cat di Jalan Petaling, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Melayu di ibunegara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata pihaknya percaya mereka antara peserta perhimpunan yang dijadual berlangsung di ibu kota esok.

"Kami sedang kenal pasti beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kes ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Zainol berkata kumpulan lelaki itu kini direman tiga hari sehingga Ahad untuk membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat.

- Bernama