Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, tidak timbul isu sama ada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dihalang daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu petang ini.

Menurut Tengku Adnan, Mukhriz sebenarnya tidak perlu hadir ke mesyuarat berkenaan kerana tidak dijemput memandangkan beliau merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno yang dilantik dan bukan melalui pengundian.

"Sebenarnya tak timbul masalah dia hadir atau tidak kerana dia ialah ahli majlis tertinggi "turut hadir" sahaja. Bukan ahli.

"Dia (MT) turut hadir. Kalau majlis tertinggi putuskan tak payah datang, tak payah datanglah. Itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Ditanya sama ada pihaknya telah memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada Mukhriz, Tengku Adnan berkata:

"Dah (maklumkan) pagi tadi. Saya beritahu. Saya telefon dia (Mukhriz)," katanya lagi.

Mukhriz hari ini didakwa diarahkan meninggalkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sedang berlangsung di PWTC.

Menurut Mukhriz, arahan tersebut adalah daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis Tertinggi Umno hari ini dipercayai bagi berbincang mengenai masa depan Mukhriz yang juga merupakan pengerusi perhubungan Umno Kedah sebagai menteri besar.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet pada 28 Julai lalu

"Mereka kata, pada siapa yang hadir yang tak dijemput untuk beredar. Ia merujuk kepada saya," kata Mukhriz ketika ditemui pemberita.

Ketika ditanya ia adalah arahan siapa, Mukhriz sekadar berkata: "Setiausaha agung," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS