Awas helah Puteri Umno: Jamilah
Dewan Muslimat PAS perlu mengambil langkah berwaspada bagi menyedarkan remaja Melayu di seluruh negara daripada 'tipu daya Puteri Umno', yang mengambil strategi baru menggunakan artis untuk menambah bilangan keahliannya.
Senator Hajah Jamilah Ibrahim, selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), membangkitkan perkara ini kepada hampir 200 perwakilan semalam di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
(Bagaimanapun, beliau tewas kepada Ustazah Fatimah Ibrahim dalam pemilihan DMPP selepas itu.)
Hajah Jamilah menjelaskan justeru Dewan Muslimat PAS melalui jawatankuasa kerjanya, Unit Amal Nisa Wal Banat (UANWB), yang ditubuhkan pada 1993, akan mempergiatkan kempen penerangan kepada seluruh remaja.
Sambil mempersoalkan kemampuan artis untuk memberi tarbiyah kepada kaum wanita, Hajah Jamilah sebaliknya mengkritik golongan artis hanya mampu menggalakkan budaya hiburan atau hedonisme.
"Dengan memperalatkan artis, jelaslah ia satu usaha yang menyokong rancangan Zionis untuk melumpuhkan ummat Islam melalui 'strategi 3's iaitu Sport, Sing and Sex . Kehadiran Puteri Umno bukan satu yang memeranjatkan, dan Muslimat PAS tidak perlu gentar,' katanya.
Institusi Pengajian Tinggi
Beliau turut mengkritik kewujudan Wanita Umno 'tidak releven' apabila Puteri Umno secara tidak langsung mengambil alih kerja-kerja pergerakan wanita parti pemerintah itu.
Bagaimanapun, Hajah Jamilah meminta Muslimat PAS sentiasa peka terhadap kemaraan Puteri Umno yang sedang giat mengelirukan pemikiran anak muda Melayu Malaysia termasuklah dengan menyusup masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi.
"Kepemimpinan Muslimat PAS sewajarnya bersikap senantiasa mendepani cabaran bukannya menghadapi cabaran," ujar beliau.
Katanya lagi, budaya kerja Muslimat bukanlah budaya 'glamour' untuk saban waktu muncul di dada-dada akhbar, majalah atau pun apa jua bentuk media.
Namun begitu, kepemimpinan Muslimat mempunyai cara yang tersendiri untuk diterima oleh masyarakat, tambahnya.
Sementara itu, Sekretariat DMPP akan mewujudkan satu Unit Tugas-Tugas Khas yang akan memantau dan menyelidik permasalahan remaja murtad. Ia juga akan menubuhkan Lajnah Guaman dan Undang-undang bagi menangani kes murtad dan perundangan. Ini kerana semakin banyak berlaku kejadian murtad di kalangan remaja Islam, malangnya ia tidak pernah dibahaskan Dewan Rakyat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.