Lima daripada tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu menghadapi masalah kewangan yang agak serius sehingga tidak boleh melakukan tugasannya jika tidak dibantu.

Menurut Exco Negeri bagi Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ahmad Said, PBT terbabit ialah Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Marang, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut.

Sebaliknya, kata beliau, pendapatan yang dijana oleh dua lagi pihak berkuasa tempatan Kemaman dan Dungun membantu membayar gaji kakitangan dan pekerja.

Hasil pendapatan PBT Kemaman dan Dungun itu juga, katanya, turut membiayai sebahagian kecil daripada peruntukan yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di lima PBT lagi.

"Pendapatan tahunan kerajaan tempatan tersebut tidak sampai separuh daripada jumlah perbelanjaan masing-masing," katanya.Ahmad ketika dihubungi malaysiakini.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta bagi membiayai projek-projek yang bakal dilaksanakan di kesemua PBT terbabit.

Jumlah itu, katanya, tidak termasuk geran kewangan yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada PBT tahun ini.

Beliau berkata, sumber utama bagi majlis kerajaan tempatan ialah geran kerajaan dan cukai pintu serta pendapatan yang lain.

Bayar balik

"Masalah yag paling teruk berlaku ialah semasa pemerintahan PAS kerana hasil cukai pintu tidak dikutip. Ini menyebabkan kerajaan membelanjakan RM60 juta untuk membayar balik kepada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Beliau berkata, kegiatan ekonomi di kawasan majlis tersebut terlalu perlahan dan sekaligus memberi kesan kepada pendapatan tahunan mereka.

Dua kerajaan tempatan yang boleh berdikari ialah Kemaman dan Dungun - kedua-dua kerajaan tempatan ini membayar gaji pekerja beberapa kerajaan tempatan yang lain.

"Sebagai contoh MPKT memerlukan perbelanjaan asas untuk menguruskan kawasan pentadbirannya kira-kira RM70 juta setahun tetapi pendapatan yang diperolehi ialah RM30 juta," katanya.

"Bagi Terengganu, masalah utama ialah kewangan. Kalau wang cukup semua beres,"tambahnya

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Kijal berkata, peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk kerajaan tempatan tidak cukup terutama yang berkaitan dengan longkang.

Longkang, katanya sering dipinggirkan sedangkan ia memerlukan perbelanjaan besar untuk membina dan menguruskanya. Di Terengganu umpamanya peruntukan untuk longkang pada tahun ini ialah RM14 juta.

Ahmad mengulas cadangan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahukan pilihanraya semula bagi kerajaan tempatan bagi memastikan keberkesanan pentadbiran di kawasan kerajaan tempatan seluruh negara.

Guan Eng mendakwa, pelbagai masalah yang berlaku di peringkat tempatan sekarang adalah kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Lebih tahu dari Yang Dipertua

Malah, kata pemimpin DAP itu lagi, masalah denggi, penjaja, sampah dan longkang, tidak pernah selesai kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan memainkan peranannya. Kegagalan ini juga kegagalan kerajaan kerana mereka yang melantik pegawai kerajaan tempatan.

Menurut Ahmad lagi, satu lagi masalah yang dihadapi oleh kerajaan tempatan di Terengganu ialah `pegawai yang lebih tahu daripada Yang Dipertua.'

Ini adalah kerana, dasar kerajaan negeri yang tidak boleh memindahkan kakitangan kerajaan tempatan dari satu majlis tempat kepada yang lain.

"Ada pegawai yang lebih berkuasa daripada daripada Yang Dipertua Majlis Daerah kerana mereka telah begitu lama bekerja di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, pegawai kerajaan tempatan di Terengganu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) dan bukannya Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang boleh dipindah bila-bila masa.

Berikutan ini, katanya, kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Kerajaan Tempatan yang membolehkan mereka menukar pegawai kerajaan tempatan masing-masing.

Di Terengganu, Yang Dipertua Kerajaan Tempatan dilantik oleh kerajaan negeri tetapi kakitangannya dilantik oleh majlis pihak berkuasa kerajaan tempatan, menyebakan mereka tidak boleh ditukarkan ke tempat lain.