Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Fadzil Noor menolak akan berlakunya krisis antara ulama dan golongan profesional memandangkan golongan profesional sudah mula diterima baik oleh parti itu.

Beliau menyebut setiap perwakilan PAS bebas memilih kedua-dua kelompok tersebut dan golongan ulama serta profesional boleh menerima situasi tersebut.

"Tidak timbul (masalah) ulama diletakkan sebagai calon (dan) tidak ada halangan untuk golongan profesional bertanding dan terpulang kepada ahli mesyuarat itu sendiri, tidak ada sekatan," ujar Fadzil yang menekankan konsep kepimpinan ulama pada Muktamar kali ke-47 di Markas PAS, Gombak.

Beliau berkata golongan profesional sudah ada dalam pimpinan parti dan tidak mustahil akan menerajui parti sekiranya golongan itu mampu.

"Saya tidak menolak senario itu akan berlaku," ujar Fadzil dalam sidang media petang tadi.

Beliau menjelaskan golongan profesional yang dikehendaki PAS mestilah mempunyai "kefahaman yang baik dan ilmu yang tinggi tentang Islam".

Sementara mengulas usul Dewan Ulama supaya parti itu menjadi tonggak Barisan Alternatif (BA), Fadzil mengulas usul tersebut bergantung kepada prestasi parti dan penerimaan rakan-rakan BA.

"Kita tidak boleh memaksa untuk tujuan itu," jelas beliau berhubung kedudukan PAS yang semakin mendapat perhatian di kalangan semua pihak.

Laporan seimbang

Fadzil sempat berseloroh kepada akhbar-akhbar lain seperti The Star dan The Sun tidak perlu bimbang apabila ditanya terhadap cadangan memboikot akhbar.

Sebelum ini dalam perbahasan parti itu seorang perwakilan mencadangkan supaya memboikot akhbar yang diambilalih oleh parti MCA, iaitu Nanyang Siang Pau dan China Press .

Katanya lagi, PAS amat menghargai laporan-laporan seimbang yang diberi oleh Nanyang dan China Press kepada BA.

"Sukar mengandaikan akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kuasa politik boleh disifatkan sebagai independent ," ulas beliau dengan memberi contoh akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikuasai oleh Umno.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan laporan akhbar-akhbar arus perdana kali ini sambil menambah "cuma kali ini liputan agak baik, barangkali (Perdana Menteri, Datuk Seri) Dr Mahathir (Mohamad) dok (sedang) runsing tentang masalah (bekas Menteri Kewangan, Tun) Daim Zainuddin".

Fadzil menegaskan pihak kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap isu perletakan jawatan Daim dalam kegawatan ekonomi yang semakin parah.

"Adakah beliau (Daim) tidak bersedia bertanggungjawab?" soal pemimpin PAS itu yang turut mendakwa wujudnya krisis antara Mahathir dan Daim.