Terima kasih Tun M keluar Umno
ULASAN Tidak ada apa-apa atau sesiapa yang rugi pun apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi meninggalkan parti yang pernah dipimpinnya selama bertahun-tahun.
Ketika kerajaan Malaysia perlu memberi fokus kepada banyak isu penting dan mendesak, tindakan Dr Mahathir itu adalah rahmat kepada seluruh alam Melayu Malaysia sebenarnya.
Tanpa gangguan dan kritikan dari dalam parti, kabinet ampuh Datuk Seri Najib Razak sekarang mampu melaksanakan banyak tugasan yang selama ini terganggu kerana terpaksa melayan kerenah Dr Mahathir dan penyokongnya.
Terbukti suara Dr Mahathir bukan lagi suara keramat seperti yang pernah dimilikinya suatu ketika dulu.
Sudah entah berapa kali beliau menyeru supaya Najib diketepikan. Mula-mula secara lunak dan berkias, sehinggalah akhir-akhir ini apabila beliau mengambil pendekatan lebih berterus-terang dan tegas.
Hampir-hampir tiada sesiapa yang sudi mendengar, apa lagi menyahut seruan berkenaan. Jika ada yang berminat pun, mereka hanyalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anaknya Datuk Seri Mukhriz.
Gambaran kekecewaan
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ini - dan seperti selalu - nampaknya lebih banyak berdiam diri.
Selebihnya berjuta-juta ahli Umno kekal dengan keyakinan amat teguh kepada Najib. Keengganan mereka memberi reaksi jelas dan berani kepada seruan Dr Mahathir adalah bukti terang dan nyata terhadap sikap mereka itu.
Hakikatnya tindakan Dr Mahathir keluar Umno - sekali lagi - itu tidak lebih daripada gambaran kekecewaannya apabila kata-katanya tidak lagi dihormati.
Dr Mahathir tidak ada banyak pilihan sebenarnya. Pelbagai usaha dan ikhtiar sudah diusahakan, sama ada secara langsung atau tidak.
Kenyataan terbuka dalam sidang media, sudah. Berceramah di Kelab Sultan Sulaiman pun sudah. Memberi pandangan di blog lagilah sudah.
Tetapi apa hasilnya? Muhyiddin tersingkir. Mukhriz diketepi.
Kebijaksanaan Najib, Hadi
Najib tetap utuh sebagai perdana menteri dan sedang tekun mengatur perancangan membawa Malaysia jauh lebih maju, membangun dan berjaya berbanding zaman sebelum ini.
Jika PAS sepakat mematuhi fikrah presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kemungkinan besar Dr Mahathir akan kekal kecewa hingga bila-bila.
Ketika kepimpinan BN diasak gabungan parti pembangkang PAS tampil dengan segak dan yakin untuk memberi 'bahasa tubuh' sangat lunak kepada Najib.
Keserasian antara Najib dan Abdul Hadi sekarang kelihatan semakin ketara. Bahawa kedua-dua mereka adalah ahli politik sangat lincah dan pintar memang tidak boleh dinafikan.
Dengan gabungan kebijaksanaan Najib dan Abdul Hadi kita boleh mengimpikan masa depan Malaysia yang lebih cerah serta gemilang.
Dan generasi terkemudian berhak untuk mengucapkan terima kasih kepada Umno - dulu, kini dan selamanya.

