Portal berkaitan Umno label juara debat ‘keaiban Asia’
Sebuah portal yang dikaitkan dengan Umno hari ini membidas Juara Debat Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana kegagalannya mematahkan hujah berhubung dakwaannya kepada firma pelaburan negara, 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam posting, MyNation.news memetik cabaran debat yang dikeluarkan oleh Azmi Arshad kepada Syed Saddiq di Facebook Sabtu lalu.
Portal itu berkata Azmi adalah bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kepada syarikat minyak dan gas yang sering mempertahankan kerajaan dan Najib berasaskan fakta serta rujukan kepada sumber sahih.
“Dengan jawapan dan persoalan berbelit-belit, remaja yang dipercayai masih lagi belum bekerja dan tinggal bersama ibunya, gagal menghamparkan bukti sokongan kepada dakwaannya,” kata portal itu dengan melabel Syed Saddiq sebagai “keaiban Asia”.
Ia juga menterjemahkan post Facebook Azmi di mana beliau mencabar Syed Saddiq untuk memberikan jawapan berdasarkan fakta berhubung 11 tuduhan yang sdisenaraikan terhadap 1MDB.
“Apapun, sementara menanti anda, saya berfikir lebih baik saya menjawab ‘persoalan dan kebimbangan’ yang secara ketara adalah bagi melencong daripada tuduhan yang saya sudah senaraikan.
“Melencong pun melenconglah... Saya harus katakan ia adalah persoalan yang penat untuk dijawab kerana apa yang jelas, anda hanya menembak membuta-tuli dan berpaut pada dahan tuduhan yang rapuh serta gagal membuktikannya,” kata Azmi dalam satu catatan Isnin lalu.

