Speaker Dewan Rakyat hari ini menolak usul tidak percaya terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa usul yang dikemukakan pada 25 Februari itu tidak mengikut perlembagaan.

"Usul itu telah ditolak (atas) alasan ia tidak mengikut perlembagaan. Kami perlu mengkaji keputusan itu, jika ia ditolak atas dasar itu dan jika mempunyai alasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Antara lain tindakan itu diambil kerana Apandi tidak mengenakan dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu wang derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya.

Usul tidak percaya terhadap peguam negara itu berlandaskan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan 27 (1), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Januari lalu, Apandi berkata tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Najib berhubung wang sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya serta siasatan berkaitan SRC International.

Sehubungan itu, peguam negara berkata pihaknya akan mengendalikan kertas siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengarahkan supaya kertas siasatan tersebut ditutup serta tiada pendakwaan dibuat terhadap perdana menteri.

Semalam, Pengerusi Biro Penyelaras Ahli Parlimen dan ADUN PKR, Datuk Johari Abdul mengesahkan usul tidak percaya terhadap peguam negara telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Surat daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu bertarikh 25 Februari dan telah diterima oleh Parlimen pada 26 Februari.

Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, presiden PKR itu berkata pihaknya akan berbuat demikian namun ingin memberi tumpuan terhadap pilihan raya negeri Sarawak terlebih dahulu.

"Kita sentiasa boleh mohon untuk melakukan usul tetapi kuasa di tangan mereka. Tetapi untuk masa sekarang, kami akan memberi tumpuan pada pilihan raya Sarawak," katanya.