Malaysiakini
BERITA

Editor Utusan dipindah keluar kerana isu RM2.6b?

Jimadie Shah Othman & Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Mac 2016, 9:27 pagi

Seorang editor kanan Utusan Malaysia meletakkan jawatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat bersama akhbar Umno itu.

Menulis dalam kolum terakhirnya di Mingguan Malaysia hari ini, Ku Seman Ku Hussain mengakui “Utusan Melayu universiti saya” menjadi artikel terakhirnya untuk akhbar itu.

“Malam ini (malam tadi) selepas saya menekankan tanda noktah pada catatan terakhir ini, saya melangkah meninggalkan Utusan Melayu yang sudah 33 tahun empat bulan tuhan menyalurkan rezeki saya melaluinya.

“Saya bersyukur menumpang hidup di rumah pusaka bangsa ini,” tulis anak kelahiran Perlis itu.

Dalam tulisan itu, Ku Seman mengenang kembali suka dukanya berkhidmat dengan Utusan sejak melapor diri hari pertama pada 1984 dengan Tan Sri Zainuddin Maidin, ketua pengarang kumpulan Utusan ketika itu.

Ku Seman bagaimanapun tidak menyebut secara langsung sebab pengundurannya.

Bagaimanapun, sumber-sumber memaklumkan beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan keputusan syarikat memindahkannya keluar daripada bahagian akhbar kepada sebuah anak syarikat.

Perkara itu dikaitkan dengan tulisan lantang beliau tahun lalu yang mempersoalkan integriti Umno

dalam menjelaskan perkara sebenar isu derma yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sentuh integriti Umno

Lantaran tulisan berjudul "Derma RM2.6 bilion dan Integriti Umno" itu, kolum beliau yang biasanya terbit di Mingguan , edisi Ahad Utusan hilang ” begitu sahaja.

Perkara itu menarik perhatian perbagai pihak, termasuk selebriti terkenal Sabri Yunus, bekas pengarang Berita Harian Sutung Umar RS dan Zainuddin, tokoh wartawan negara.

Ku Seman juga sebelum ini mencabar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pengarah Jabatan hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Puad Zarkashi berdebat dalam isu dana itu.

Menyatakan bantahannya, Zainuddin ( gambar ) antaranya berkata, selama 10 tahun beliau menjadi ketua pengarang Utusan , tidak pernah berlaku rencana dibuang pada tengah malam.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas itu , Ku Seman mempertahankan tulisan umum beliau itu tidak menghentam peribadi mahupun bersifat fitnah.

Beliau ketika ditanya sama ada gentar diambil tindakan menjawab Umno harus matang kerana beliau “bertanggungjawab mengutarakan isu bersikap rakyat”.

Berikut pengundurannya daripada Utusan , Ku Seman tidak dapat dihubungi buat masa ini bagi mendapatkan sebab sebenar beliau berbuat demikian.

Usaha menghubungi Ketua Pengarang Utusan Datuk Aziz Ishak juga belum berhasil buat masa ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.